GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prestasi ringgit berbanding dolar AS tidak mencerminkan keadaan ekonomi negara kerana kadar pertukaran hanya merupakan satu daripada banyak indikator yang menunjukkan keadaan ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Justeru, beliau berkata, penting untuk melihat kepada kekuatan dan prestasi positif ekonomi Malaysia dari segi pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pasaran tenaga kerja baik dan sistem kewangan berdaya tahan yang terus memainkan peranannya dengan efektif.

"Lagipun, Malaysia mempunyai kedudukan luaran yang kukuh dengan lebih banyak aset mata asing berbanding liabillti mata wang asing.

"Pinjaman mata wang asing hanya menyumbang kurang daripada tiga peratus daripada jumlah hutang kerajaan persekutuan," katanya dalam ucapan beliau yang bertajuk "Navigating Malaysia's Economic Transition in a post-COVID world" (Mengemudi Peralihan Ekonomi Malaysia dalam dunia pasca COVID) pada Forum Khazanah Megatrends 2022, di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, sejak Januari tahun ini, nilai ringgit menyusut lebih daripada sembilan peratus berbanding dolar AS.

Menurutnya, kekuatan dolar adalah fenomena global bukan hanya berlaku kepada mata wang Malaysia sahaja

Malahan, katanya, dolar AS kini berada di paras tertinggi dalam tempoh dua dekad berikutan langkah mengetatkan dasar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menaikkan kadar dasarnya sebanyak 300 mata asas tahun ini.

Beliau berkata, sentimen mengelak risiko yang berpunca daripada konflik geopolitik serta prospek pertumbuhan global yang menyederhana telah meningkatkan lagi permintaan terhadap aset dolar.

Menurutnya, mata wang ekonomi utama lain juga turut menyusut berbanding dolar AS.

"Jika kita melihat bagaimana prestasi ringgit berbanding mata wang rakan dagang kita, unit tempatan meningkat berbanding yang lain dan menyusut berbanding yang lain.

"Malah, prestasi ringgit, sekiranya dibandingkan dengan mata wang rakan dagang Malaysia, secara relatifnya stabil. Ini menunjukkan bahawa kita kini berada dalam persekitaran dolar AS yang kukuh," katanya.

Kadar pertukaran fleksibel masih relevan

Nor Shamsiah menegaskan kadar pertukaran fleksibel masih relevan kerana ia membolehkan negara menyerap kejutan luaran dan juga membolehkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menetapkan kadar dasar berasaskan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi Malaysia, dan bukannya berada dalam kekangan kerana terpaksa mengikut dasar monetari ekonomi maju lain.

"Sekarang, kita tahu bahawa pergerakan kadar pertukaran akan menyebabkan ada yang meraih untung dan ada yang mengalami kerugian. Tidak dinafikan, kekukuhan dolar telah meningkatkan kos barang-barang import termasuk harga makanan. Input diimport menyumbang kurang daripada 20 peratus daripada kos pengeluaran.

"Kita sedar bahawa kenaikan harga terutamanya harga makanan menjadi kebimbangan utama orang ramai. Dan walaupun impak kadar pertukaran terhadap inflasi bukan secara langsung, namun ia turut menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kos hidup kerana harga komoditi tinggi dan gangguan bekalan menjejaskan harga domestik," jelasnya.

Menurutnya, pelbagai langkah sedang dilaksanakan untuk mengurangkan impak daripada kenaikan harga termasuk bantuan sosial, penstabilan harga dan akses kepada barangan keperluan yang diberi diskaun.

Sementara itu, katanya, penyusutan nilai ringgit juga dijangka memberi manfaatkan kepada sektor berorientasikan eksport yang menggaji lebih daripada 30 peratus tenaga kerja Malaysia.

"Malah, eksport Malaysia meningkat sebanyak 30 peratus tahun ini disokong oleh beberapa faktor termasuk keuntungan penilainan kadar pertukaran," katanya.

Nor Shamsiah berkata peningkatan pertumbuhan eksport telah menyumbang kepada penciptaan pekerjaan yang tinggi dan menaikkan gaji.

"Ini menunjukkan bahawa penting untuk mempunyai ekonomi yang pelbagai yang membantu mengurangkan kejutan luaran," katanya.

Beliau berkata juga penting untuk mengekalkan keadaan pasaran kewangan yang teratur dengan mengelakkan perubahan besar dalam kadar pertukaran agar tidak menjejaskan aktiviti ekonomi.

"Ini akan membolehkan kadar pertukaran berfungsi sebagai penyerap kejutan dan bukan penguat kejutan, kepada ekonomi domestik," katanya.

Beliau berkata, walaupun BNM tidak menyasar sebarang paras kadar pertukaran, ia akan memantau rapat dan memastikan keadaan pasaran yang teratur.

"Ingin saya ketengahkan bahawa walaupun dengan peningkatan kemeruapan dalam pasaran kewangan global, volum transaksi pertukaran asing dalam pesisir harian dan aktiviti pasaran bon kekal kukuh," katanya.

Menurutnya, pembaharuan untuk mengukuhkan pasaran bon domestik telah membantu mengukuhkan asas ekonomi dengan membolehkan perniagaan memenuhi keperluan pembiayaan mereka dengan lebih efektif.

Pada 1.37 tengah hari, mata wang tempatan berada pada paras 4.6485/6515 berbanding dolar AS daripada 4.6400/6445 pada pembukaan pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 4:32 PM