Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pertumbuhan Perniagaan Touch ‘n Go Sdn Bhd, Prabakaran Sangarajoo (dua dari kanan) memperkenalkan peraduan Tol Percuma Touch ‘n Go RFID.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pertumbuhan Perniagaan Touch ‘n Go Sdn Bhd, Prabakaran Sangarajoo (dua dari kanan) memperkenalkan peraduan Tol Percuma Touch ‘n Go RFID.

Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go melancarkan Peraduan Tol Percuma di mana pengguna Touch 'n Go RFID berpeluang memenangi tol percuma selama setahun.

Peraduan ini berlangsung dari 10 September hingga 18 November depan dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang menggunakan kenderaan milik persendirian Kelas 1.

Pengguna perlu membeli dan mengaktifkan Touch 'n Go RFID mereka dan menggunakannya sekurang-kurangnya lima kali untuk pembayaran tol sepanjang tempoh peraduan untuk peluang memenangi tol percuma selama setahun.

Seramai lapan pemenang dipilih setiap dua minggu menjadikan jumlah keseluruhan 40 pemenang sepanjang kempen ini.

Touch 'n Go dalam kenyataan berkata, pelaksanaan Touch 'n Go RFID adalah menyokong Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (ITS) yang membabitkan aplikasi teknologi dan sistem pintar dalam pengurusan trafik serta mobiliti sistem pengangkutan lebih cekap dan mampan.

"Penggunaan RFID pencapaian pertama dalam perjalanan ke arah sistem aliran bebas berbilang lorong untuk tol jalan terbuka.

"Dengan teknologi dan integrasi Touch 'n Go RFID, pengguna boleh menikmati transaksi lancar, mudah dan tanpa tunai untuk tol melalui aplikasi Touch 'n Go eWallet selagi mereka mempunyai baki mencukupi.

"Ketika ini lebih dua juta pengguna Touch 'n Go RFID aktif dan bilangan semakin meningkat pesat," katanya.

Menurutnya, selain membayar tol, Touch 'n Go RFID juga boleh digunakan untuk membayar petrol di stesen Shell terpilih di seluruh negara.

"Pengisian bahan api RFID Touch 'n Go kini boleh didapati di 100 stesen Shell di seluruh negara dan dijangka meningkat kepada 450 stesen Shell dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Untuk mengisi minyak dengan Touch 'n Go RFID, pengguna hanya perlu meletakkan kenderaan di ruang pengisian bahan api ditetapkan RFID dan bayaran didebit secara automatik daripada Touch n' Go eWallet mereka, membolehkan mereka meneruskan mengisi minyak kenderaan.

Sebarang jumlah yang tidak digunakan akan dikembalikan serta-merta ke akaun Touch 'n Go eWallet pengguna.

Tag RFID Touch 'n Go boleh dibeli di pusat perkhidmatan dan jualan Touch 'n Go Nu Sentral dan Bangsar South, pusat pemasangan RFID yang ditetapkan, dan di stesen minyak terpilih di seluruh Malaysia.

Ia juga boleh didapati untuk pembelian dalam talian melalui portal Touch 'n Go RFID, kedai rasmi Touch 'n Go di Lazada dan Shopee, serta Touch 'n Go eWallet.

Pengguna akan menerima pulangan tunai RM8 untuk pembelian melalui Touch 'n Go eWallet dan pin tambah nilai RM8 untuk pembelian melalui portal RFID sepanjang tempoh kempen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:01 PM