YEW Meng (tengah) dan Isaac (kanan) bersama pengiktirafan MBOR. FOTO Ihsan Kumoten
YEW Meng (tengah) dan Isaac (kanan) bersama pengiktirafan MBOR. FOTO Ihsan Kumoten
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Malaysia Book of Records (MBOR) mengiktiraf Kumoten sebagai platform dropship terbesar di Malaysia, kerana memiliki koleksi terbesar produk dalam pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumoten Isaac Leong berkata, Kumoten mendapat pengiktirafan itu berikutan katalognya yang mengandungi lebih daripada 53,000 produk.

"Ini bermakna pengguna boleh melakukan jualan dengan memilih dan menyelaraskan sejumlah 53,000 produk ke kedai Lazada atau Shopee tanpa membeli atau menyimpan stok barangan berkenaan.

"Kami memulakan Kumoten di bawah OGN Online Sdn Bhd pada 2014 dengan misi untuk membantu penjual dalam talian memperoleh pendapatan daripada e-dagang dengan mudah, cepat dan mempunyai risiko serendah mungkin.

"Perniagaan kami berkembang pesat dan secara rasminya, kini kami mempunyai 53,598 barangan di dalam sistem," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Yew Meng berkata, Kumoten bekerjasama dengan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi inisiatif kerajaan Malaysia di bawah Inisiatif E-dagang Belanjawan 2021 yang terbukti sangat berjaya.

"Di bawah inisiatif ini, Kumoten membolehkan lebih daripada 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dan individu untuk menjana pendapatan daripada perniagaan secara dropship di Lazada dan Shopee," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 12:12 AM