PEKERJA pembekal gas memasak, Abdul Rashidie Abd Rahman berehat  ketika ditemui di pusat pembekal gas memasak dekat Jalan Rancha-Rancha, Labuan, semalam.
PEKERJA pembekal gas memasak, Abdul Rashidie Abd Rahman berehat ketika ditemui di pusat pembekal gas memasak dekat Jalan Rancha-Rancha, Labuan, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Subsidi khas untuk produk petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) serta minyak masak bersubsidi perlu diberikan kepada kumpulan penjaja kecil, B40 dan M40 yang terjejas pendapatan mereka berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata,  inisiatif itu boleh dilaksanakan sehingga Disember depan berikutan peningkatan harga komoditi di peringkat global.

Katanya, ia memandangkan harga bahan itu dijangka akan meningkat dengan mendadak.

"Berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan, sejumlah RM3.78 bilion diperuntukkan bagi subsidi bahan berkenaan pada tahun ini. Tetapi, berdasarkan harga pasaran global semasa, kerajaan dijangka bakal menampung subsidi sehingga RM8 bilion iaitu RM4.22 bilion lebih tinggi daripada jumlah peruntukan asal.

"Walaupun kerajaan bakal menampung subsidi sehingga RM8 bilion iaitu RM4.22 bilion daripada peruntukan asal (RM3.78 bilion),namun dalam keadaan luar jangka ini, usaha membantu penjaja kecil yang kerap menggunakan minyak masak dalam perniagaan boleh ditingkatkan melalui pemberian subsidi.

"Selain itu, sudah sampai masanya bantuan yang diberikan kerajaan termasuk bantuan tunai bukan sahaja mengambil kira pendapatan semasa isi rumah, tetapi turut mengambil kira jumlah simpanan isi rumah yang terjejas ketika ini," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, ini disebabkan sebahagian kumpulan M40 juga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan seharian terutama apabila berlakunya PKP 3.0.

Beliau berkata, perkara ini juga mengambil kira dapatan Kajian Selidik Kesan PKP 1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini bahawa satu pertiga isi rumah tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan untuk lebih daripada sebulan.

Selain itu, 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan.

Katanya, untuk membantu penjaja dan peniaga kecil kerajaan bersama pemain e-dagang utama seperti Lazada dan Shopee boleh menjalin kerjasama bagi memberi ruang kepada golongan terjejas pendapatannya sepanjang pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

"Kerajaan boleh mengadakan rundingan dengan pemain e-dagang ini untuk memberikan ruang kepada peniaga menjual produk atau barangan mereka dalam platform online dengan kaedah lebih mudah.

"Melalui kerjasama ini juga, Lazada dan Shopee boleh memberikan latihan secara percuma kepada usahawan yang berminat untuk menyertai platform e-dagang mereka dan selepas menjalani latihan, berikan ruang pada usahawan ini untuk menjual barangan atau produk mereka melalui platform masing-masing.

"Usahawan dan peniaga kecil yang terjejas pendapatan tak terbeban kerana tidak perlu membayar kos latihan untuk beralih kepada e-dagang.

"Platform e-dagang juga akan memperoleh keuntungan berdasarkan pembahagian keuntungan jualan antara penjual dan syarikat e-dagang terbabit dan ini akan memberi penyelesaian menang-menang.

"Selain itu, ramai mereka yang kehilangan pekerjaan mencuba mencari rezeki dengan berniaga dan mereka ini perlu dibimbing kerana baru hendak memulakan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:01 AM