Lazada Malaysia lancar Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau 2022 bantu peniaga kecil.
Lazada Malaysia lancar Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau 2022 bantu peniaga kecil.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Lazada Malaysia melancarkan Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau 2022, sebagai usaha untuk membantu perniagaan kecil di Malaysia menangani kesan pandemik yang berpanjangan, dengan memudahkan mereka beralih ke dalam talian.

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata, inisiatif itu termasuk bantuan latihan, logistik dan insentif kewangan bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani kos operasi dan memperluaskan kewujudan dalam talian, di samping mempersiapkan mereka untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang dan membina perniagaan yang mampan.

"Program ini memantapkan komitmen jangka panjang Lazada demi menyokong pendigitalan perniagaan tradisional dan kecil bagi memastikan usahawan PKS mampu terus berdaya saing dalam ekonomi digital yang kian berkembang," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dalam situasi pandemik semasa dan kemunculan varian baharu, banyak syarikat kecil Malaysia khususnya peniaga yang tiada kewujudan dalam talian yang masih dalam proses pemulihan.

Justeru, katanya, Hari-Harimau 2022 iaitu Pakej Kickstarter Penjual Baharu direkabentuk oleh Lazada untuk membantu syarikat kecil yang mengharungi cabaran suasana perniagaan yang kian berubah, sementara ekonomi pulih secara beransur-ansur dan pelanggan menyesuaikan diri dengan kaedah pembelian baharu seperti e-dagang.

"Lazada akan terus mengoptimumkan teknologi dan capaian kami bagi mencari pendekatan baharu dalam landskap perniagaan yang mampu menyokong komuniti usahawan dengan lebih terangkum.

"Penjual baharu yang menyertai Lazada bermula dari 22 Februari hingga 31 Disember 2022 di bawah Hari-Harimau 2022 Pakej Kickstarter Penjual Baharu layak dan boleh memanfaatkan sepenuhnya rangkaian teknologi dan perkakasan digital inovatif Lazada, serta sokongan secara langsung untuk memudahkan permulaan proses perniagaan dalam talian, serta memperluaskan rangkuman pelanggan mereka," katanya.

Antara sokongan utama yang diberikan termasuk meringankan kos operasi dengan kos pembukaan kedai dalam talian secara percuma, yuran komisen sifar peratus, pengecualian yuran pembayaran dua peratus dan servis penghantaran percuma.

Selain itu, Lazada juga membantu PKS memperoleh pelanggan baharu menerusi sokongan pemasaran seperti kredit iklan percuma untuk penemuan ditaja bernilai RM150 dan Trafik dan Pendedahan Eksklusif di Laman Kempen Hari-Harimau.

Ia juga memberi sokongan pendidikan dengan akses kepada pelbagai latihan dan sokongan platform menerusi Lazada University untuk memperkembang perniagaan dan berjaya dalam jangka panjang.

Penjual baharu juga memperoleh akses satu bulan percuma untuk menggunakan Customer Engagement Management (CEM): sistem kemudahan premium yang membolehkan penjual Lazada berkomunikasi secara proaktif dengan pelanggan menerusi mesej yang diselaraskan khusus untuk pelbagai senario, lantas membolehkan mereka untuk mencapai lebih ramai pelanggan dan memaparkan jenama perniagaan mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 4:32 PM