Proton X50
Proton X50

Kuala Lumpur: Jualan pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd dalam pasaran domestik dan eksportnya meningkat sebanyak 40.9 peratus pada Mei 2023 kepada 13,268 unit bulan ke bulan.

Prestasi itu berikutan permulaan perlahan pada suku kedua tahun ini disebabkan pasaran automotif Malaysia terjejas oleh cuti perayaan dan penamatan penghantaran untuk kereta dikecualikan cukai pada Mac.

"Jualan untuk lima bulan pertama tahun ini berjumlah 62,970 unit, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 38.9 peratus, pertumbuhan tertinggi antara jenama dalam pasaran automotif Malaysia.

"Sementara itu, jumlah volum industri dianggarkan meningkat semula sebanyak 32.2 peratus kepada 61,600 unit pada Mei," kata Proton dalam kenyataan.

Katanya, pegangan pasaran Proton berada pada 21.5 peratus bagi Mei.

Malah, pengeluar kereta itu turut meneroka pasaran eksport baharu, Mozambique, pasaran baharu pertamanya untuk 2023 dan ke-12 keseluruhan, menawarkan model X70 dan X50.

"Selain memasuki pasaran baharu, Mei juga merupakan bulan terbaik untuk jualan eksport sepanjang tahun, dengan 217 unit terjual, diterajui Proton Saga.

"Bagi jualan keseluruhan, Proton Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada Mei, meletakkannya di tempat kedua keseluruhan untuk sedan segmen A dengan 27,214 unit terjual setakat ini, peningkatan yang luar biasa sebanyak 51 peratus tahun ke tahun," katanya.

Pengeluar kereta itu berkata, tiga model iaitu X50, Proton Persona dan Exora menerajui jualan segmen keseluruhan pada Mei.

Ia berkata X50 terus menerajui jualan keseluruhan segmen B dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan 2,801 unit terjual, manakala model Persona kekal peneraju keseluruhan bagi sedan segmen B pada tahun ini walaupun menduduki tempat kedua dengan 2,290 unit dijual pada bulan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 7:51 AM