PROTON Saga mencecah angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 51 bulan pada Oktober.
PROTON Saga mencecah angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 51 bulan pada Oktober.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Jualan Proton terus meningkat sehingga mencecah 79,833 unit membabitkan pasaran domestik dan eksport dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, merekodkan pertumbuhan sebanyak 46 peratus.

Pembuat kereta itu dalam satu kenyataan berkata, peningkatan itu adalah satu pencapaian luar biasa memandangkan jumlah keseluruhan industri (TIV) di Malaysia menyusut sebanyak 1.3 peratus.

Bahagian pasarannya pada tahun ini dianggarkan sebanyak 16 peratus, naik 5.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Proton juga mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dalam jadual jualan keseluruhan dan yakin dapat mengekalkan kedudukan itu sehingga ke penghujung 2019.

Proton X70 terus mengekalkan kedudukannya sebagai kenderaan premium dan SUV paling laris di Malaysia manakala Proton Saga mencecah angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 51 bulan pada Oktober.

“Lebih 28,000 tempahan diterima setakat ini (untuk Proton Saga model 2019) dan pada Oktober, model berkenaan mencatatkan angka jualan tertinggi selama lebih empat tahun. Sejumlah 4,273 unit dijual pada bulan lepas dan bagi 10 bulan pertama tahun ini, jumlah keseluruhan adalah 30,331 unit, peningkatan 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sama dengan Exora, Iriz dan Persona, model ini juga menunjukkan kenaikan jualan dan secara keseluruhan, jualan ketiga-tiga model ini bersama model Saga menokok 21 peratus setakat ini. Model-model itu juga menyumbang 78 peratus daripada jumlah jualan Proton pada Oktober dan sepanjang tahun, angka itu mencecah 68 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:33 AM