Lim Kim Hong (kiri), dan David.
Lim Kim Hong (kiri), dan David.

Kuala Lumpur: i-City bekerjasama dengan Huawei Enterprise Malaysia (Huawei) untuk membina bandar pintar generasi akan datang di bandar teknologi pertama Malaysia yang dibangunkan oleh I-Bhd itu.

Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, generasi akan datang i-City itu membabitkan penambahbaikan kecerdasan buatan (AI), dengan tumpuan kepada rumah pintar dan teknologi hartanah untuk membina nilai lebih baik kepada penduduk yang menghuni, bekerja dan melawat bandar berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai boleh membayangkan untuk melawat bandar yang sibuk dengan aktiviti ekonomi, namun tanpa kesesakan trafik.

"Bayangkan boleh bergerak lancar dengan bas automatik yang tiba tepat pada masanya. Bayangkan sebuah bandar yang boleh bekerjasama dengan unit pengkuatkuasaan untuk mencegah jenayah sebelum ia berlaku.

"Bayangkan berpindah ke pejabat yang mempunyai semua infrastruktur AI yang membolehkan syarikat berkembang dan merancang sumber. Itulah ultrapolis i-City yang disasarkan pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi I-Bhd, Ricky Lim berkata, dengan penambahbaikan AI, pemilik hartanah boleh merasai bangunan yang lebih cekap manakala penghuni dan pengunjung menikmati gaya hidup lebih selesa.

Perniagaan pula akan memiliki kecekapan jalur lebar super dan perkhidmatan yang mempunyai pertindihan amat rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:53 AM