Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Eksport semikonduktor Malaysia dijangka meraih manfaat daripada permintaan tinggi global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia melihat manfaat datang daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya cip dan semikonduktor dan pendekatan dasar "neutralisasi" Malaysia dalam persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China adalah sangat penting kerana syarikat Malaysia berharapkan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

"Malaysia telah lama bertapak dalam sektor ini, dalam tempoh 50 tahun lepas dan dari segi bahagian pasaran global bagi sektor ujian semikonduktor, kita menguasai kira-kira 12 hingga 13 peratus dan kita adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar.

"Sektor E&E sangat besar di Malaysia sehingga 40 peratus daripada eksport kita sebenarnya daripada sektor E&E," kata Tengku Zafrul menerusi temu bual beliau dengan CNN semalam.

Beliau berkata terdapat peningkatan pelaburan ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara tahun lepas meskipun dalam situasi prospek ekonomi global yang sukar.

"Pada 2022, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang mengalir ke Asean meningkat 5.0 peratus dan jika anda melihat apa yang berlaku di dunia, FDI global turun sebanyak 12 peratus. Tetapi, pelaburan Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama (2023) mencatat rekod tertinggi dalam tempoh dekad lepas.

"Itu menunjukkan bahawa terdapat peluang walaupun dalam keadaan prospek ekonomi global yang sukar," katanya.

Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, melebihi sasaran setahun penuh bagi 2023, dengan FDI menyumbang 55.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Tengku Zafrul berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merancang untuk mempelbagaikan perdagangan dengan negara dan wilayah lain di samping meningkatkan perdagangan sesama Asean, yang kini mencapai 20 peratus.

"Ia adalah apa yang kami, sebagai menteri perdagangan di rantau ini sedang usahakan bersama untuk memastikan jumlah itu bertambah.

"Salah satu perkara yang kami sedang kaji adalah untuk melengkapkan perjanjian yang dipanggil Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital menjelang 2025 kerana perdagangan elektronik sudah pastinya akan meningkat di rantau ini," katanya.

Menurut, berkata terdapat potensi yang besar daripada perdagangan sesama Asean memandangkan populasi golongan muda berusia di bawah 30 tahun membentuk 50 peratus daripada jumlah 680 juta penduduk di rantau ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berada dalam lingkungan 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2024 manakala pertumbuhan ekonomi juga sekitar 4.0 peratus.

"Akan ada impak negatif daripada apa yang berlaku di peringkat global sekarang dan itulah sebabnya mengapa kami agak konservatif dengan unjuran KDNK kami. Malaysia adalah sebuah ekonomi perdagangan yang terbuka dengan nilai perdagangan berbanding KDNK mencecah 160 peratus.

"Kami akan memantau rapat (perkembangan ekonomi global) dan kami berharap situasi tidak akan memburuk, yang boleh memberi impak kepada rantau ini dan juga Malaysia," katanya.

Mengenai sama ada risiko pembubaran China Evergrande Group berpotensi memberi tekanan kepada Malaysia, Tengku Zafrul menegaskan tentang kepentingan untuk melindungi ekonomi seperti Malaysia

"China kekal sebagai rakan dagang penting kepada rantau Asean dan juga Malaysia kerana ia merupakan rakan dagang terbesar kepada kebanyakan negara di rantau ini, dan pertumbuhan di China akan memberi impak kepada pertumbuhan di rantau ini.

"Kita semua tahu apa yang berlaku dalam sektor hartanah di China dan mungkin akan memberi impak kepada keseluruhan ekonomi negara itu.

"Kami akan memantau rapat perkembangannya, tetapi seperti yang saya katakan, melindungi ekonomi seperti Malaysia adalah penting kerana China dan AS (membentuk) 45 peratus daripada jumlah KDNK. Jadi, kedua-dua kuasa ekonomi ini akan mempengaruhi (ekonomi) Asia Tenggara, terutamanya Malaysia," katanya.

Mahkamah Hong Kong pada Isnin mengarahkan pembubaran gergasi hartanah China Evergrande Group, satu langkah yang berkemungkinan akan membawa kesan kepada pasaran kewangan China ketika penggubal dasar sedang bergelut untuk membendung krisis yang semakin meruncing itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 10:05 AM