Ahmad Nazlan Idris
Ahmad Nazlan Idris

Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) melakukan pembaharuan dengan memperkenalkan sistem e-mohon dan akan menamatkan penghantaran permohonan secara bersemuka pada hujung bulan ini.

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sistem e-mohon yang secara rasmi bermula semalam membolehkan usahawan memohon pembiayaan perniagaan secara dalam talian.

Katanya, usahawan juga boleh memantau proses permohonan pembiayaan daripada penerimaan permohonan lengkap sehingga status akhir permohonan.

"Sistem ini dapat memudahkan pemohon, selain mempercepat dan meningkatkan kecekapan proses permohonan.

"Peralihan kepada pendigitalan operasi adalah satu keperluan, selain menjadi antara kaedah progresif yang boleh digunakan dalam persekitaran hari ini.

"PUNB sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan memudahkan usahawan.

"PUNB akan beralih kepada permohonan secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 Februari depan dan penghantaran permohonan secara bersemuka di Ibu Pejabat dan Pejabat Wilayah PUNB di seluruh negara akan ditamatkan pada 31 Januari depan," katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, usahawan yang mempunyai pertanyaan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan perniagaan, masih boleh berkunjung ke Ibu Pejabat dan Pejabat PUNB di seluruh negara mengikut waktu operasi yang ditetapkan.

Kemudahan e-mohon sudah boleh diakses bermula semalam di https://e-mohon.punb.com.my/login dan klik untuk pendaftaran serta proses permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:01 AM