Nazri  (dua dari kiri) bersama  Liew (tiga dari kiri) pada majlis pengumuman kerjasama di antara RHB Bank dan RinggitPlus.com, semalam.
Nazri (dua dari kiri) bersama Liew (tiga dari kiri) pada majlis pengumuman kerjasama di antara RHB Bank dan RinggitPlus.com, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: RHB Bank Berhad (RHB Bank), optimis mencapai sasaran bagi segmen pinjaman peribadinya kepada RM1.5 bilion menjelang akhir tahun ini berbanding RM850 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

Pemangku Ketua Perbankan Runcitnya Nazri Othman berkata, setakat ini pihaknya sudah mengagihkan RM1.1 bilion pinjaman dan mengunjurkan jumlah itu akan meningkat seperti disasarkan.

Beliau berkata, peningkatan itu antaranya disumbangkan oleh pengenalan platform penyampai mesej masa sebenar bagi memudahkan permohonan pinjaman peribadi, ChatBot.

“Permintaan untuk pinjaman peribadi meningkat dan menerusi ChatBot ini, kami menyasarkan peningkatan sebanyak 67 peratus atau RM5 juta agihan pinjaman peribadi sebulan.

“RHB turut mengunjurkan keseluruhan agihan pinjaman peribadi sebanyak RM60 juta pada akhir tahun ini yang disumbangkan oleh platform ChatBot, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara,” katanya selepas majlis pengumuman kerjasama antara RHB Bank dan RinggitPlus.com, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus.com Malaysia Liew Ooi Hann.

ChatBot dibangun menggunakan teknologi terkini yang membolehkan pengguna membuat permohonan pinjaman peribadi di sebarang lokasi dan pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah-payah melengkapkan borang pada peringkat awal permohonan.

Pemohon juga akan memperoleh keputusan kelayakan dalam tempoh sehari menerusi penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya, ChatBot secara automatik akan memasukkan maklumat yang disediakan pengguna dan menggabungkannya dengan proses pengesahan permohonan, sekali gus mengurangkan tempoh permohonan.

Katanya, melalui platform baru ini, pengguna boleh merasai pengalaman perbankan digital yang mudah, pantas dan lancar bersesuaian dengan gaya hidup masa kini.

Pembiayaan peribadi RHB Bank adalah daripada RM2,500 hingga RM250,000 dengan tempoh pinjaman antara dua hingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 2:42 AM