Ladang pertanian milik Mohd Fahmi Ramli musnah ditenggelami air banjir ketika tinjauan sekitar Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad.
Ladang pertanian milik Mohd Fahmi Ramli musnah ditenggelami air banjir ketika tinjauan sekitar Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kira-kira 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di beberapa daerah di Selangor terjejas akibat bencana banjir antara terburuk yang melanda negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut SME Corporation Malaysia (SME Corp), PMKS yang terbabit dalam bencana itu adalah di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat terkesan dengan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, kejadian banjir yang menjejaskan pelbagai aspek operasi perniagaan PMKS itu belum mengambil kira perniagaan sama di negeri-negeri lain yang turut terjejas disebabkan bencana itu.

"Berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS di Selangor sahaja mewakili 19.7 peratus atau 226,000 daripada keseluruhan 1.15 juta PMKS di seluruh negara. Manakala di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat mewakili 20 peratus atau sekitar 50,000 PMKS.

"Sudah pasti angka PMKS yang terjejas sangat besar kerana banjir kali ini melanda kebanyakan tempat. Namun aspek kerosakan mungkin berbeza mengikut kawasan. Kita belum mendapat maklumat lagi berkenaan angka kerugian yang ditanggung PMKS," katanya pada sidang media Majlis Penutup Pameran Tahunan PMKS (SMIDEX 2021) dan Pelancaran Program Pembiayaan Digital PMKS di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) memohon supaya lebih banyak bantuan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir buruk di Lembah Klang.

Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, ramai ahli Samenta melaporkan kerosakan teruk pada kenderaan, jentera dan stok, termasuk ada yang mencecah jutaan ringgit.

"Anggaran awal kami ialah antara 12,000 hingga 18,000 PKS terjejas akibat banjir.

"Kami bersyukur kerana kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) telah menawarkan pinjaman sehingga RM500,000 dengan kadar faedah rendah kepada PKS yang terjejas.

"Namun, kami meminta pihak kerajaan untuk mengambil langkah seterusnya dengan mengumumkan moratorium bebas faedah selama tiga bulan untuk pembayaran balik pinjaman dari PKS yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 3:28 PM