Hasan Azhari
Hasan Azhari

Shah Alam: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan kerajaan Selangor kekal optimistik, tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi negeri untuk tahun depan kerana Covid-19 membawa banyak cabaran baharu, khususnya kepada rantaian bekalan kebanyakan industri.

Ketua pegawai eksekutif, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, bekalan terhad bahan mentah, alat ganti dan komponen terutama dalam industri elektrik dan elektronik menghalang penghantaran tempahan baharu banyak barangan elektronik di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, kami kekal positif, tetapi berhati-hati dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi tahun depan," katanya.

Hasan Azhari berkata, Selangor adalah penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, menyumbang secara purata 24 peratus setahun. Justeru, pertumbuhan ekonomi negeri memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Tahun lalu, negeri itu merekodkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan sebanyak 2.09 peratus di tengah-tengah penguncupan KDNK negara keseluruhan sebanyak 5.6 peratus disebabkan pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

Beliau berkata, di sebalik situasi pandemik yang bermula pada awal tahun lalu, Selangor memperoleh tempat teratas sebagai destinasi pelaburan terbaik Malaysia untuk sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan bernilai RM18.4 bilion tahun lalu.

"Untuk tahun ini, sasaran awal kami untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan/pembuatan ialah RM12 bilion, bagaimanapun, kami menilai semula ini kerana ketidakpastian pandemik, penyebaran varian baharu dan sekatan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi dan perjalanan telah banyak menjejaskan. rancangan kami untuk 2021.

"Kami berharap keadaan akan semakin baik pada tahun 2022, dan kami akan dapat merancang aktiviti penglibatan dan promosi kami dengan lebih baik," kata Hasan Azhari.

Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor merekodkan nilai pelaburan lebih tinggi sebanyak RM4.64 bilion dari Januari hingga Jun 2021, berbanding RM3.39 bilion pada separuh pertama 2020, manakala jumlah projek pembuatan yang diluluskan ialah 122, sama seperti tahun lepas.

Beliau berkata, 9,179 pekerjaan telah diwujudkan dalam tempoh itu, manakala pelaburan tempatan dan asing masing-masing meningkat kepada RM4.06 bilion dan RM576.98 juta, berbanding dengan 5,001 pekerjaan diwujudkan, RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing pada separuh pertama 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:01 AM