AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor merekodkan prestasi pelaburan semasa yang menggalakkan walaupun negara masih 'berperang' dengan pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, nilai pelaburan yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 adalah sebanyak RM4.64 bilion.

Katanya, jumlah berkenaan lebih tinggi dari nilai pelaburan yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM 3.39 bilion.

"Jumlah projek perkilangan yang diluluskan adalah sama bagi 2021 dan 2020 iaitu sebanyak 122 projek.

"Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak 9,179 peluang pekerjaan dihasilkan bagi tempoh berkenaan (Januari hingga Jun 2021) yang merangkumi RM4.06 bilion pelaburan tempatan dan RM576.98 juta pelaburan asing.

"Pada tahun lalu, sebanyak 5,001 peluang pekerjaan dijanakan bagi tempoh yang sama dengan RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik) yang bertanyakan mengenai impak Covid-19 kepada prestasi pelaburan terhadap Selangor.

Amirudin berkata, agensi penggalakkan pelaburan negeri iaitu Invest Selangor sentiasa sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur sebagai destinasi pelaburan.

Katanya, selain strategi khusus seperti Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Selangor dan Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor, kerajaan negeri juga turut melaksanakan program Selangor International Business Summit Hybrid 2022 (SIBS 2022) yang mempunyai komponen Selangor International Expo (F&B); Selangor International Expo (MEDIC); Selangor Industrial Park Expo (SPARK); Selangor ASEAN Business Conference (SABC); Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC) dan Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 5:07 PM