NAFISAH Amran.
NAFISAH Amran.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Amanah Saham Malaysia Berhad (ASNB) membawakan perkongsian mengenai kepentingan mempunyai perancangan kewangan dalam keluarga menerusi slot Bijak Finance sempena Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021).

Bijak Finance adalah salah satu program yang dijalankan bersempena Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021) secara maya menerusi laman Facebook dan Youtube rasmi ASNB, baru-baru ini.

Program berdurasi 30 minit ini membawakan pempengaruh (influencer) kewangan media sosial, Nafisah Amran.

Nafisah menerusi Bijak Finance berkata, perancangan kewangan dalam keluarga adalah penting bagi memastikan kitaran aliran tunai lancar.

"Sehubungan dengan itu, terdapat tiga aspek penting dalam pengurusan kewangan keluarga iaitu; tabung kecemasan, dana terikat (sinking fund) serta penyimpanan wang mengikut kategori.

"Jumlah yang sesuai untuk menyimpan Tabung Kecemasan adalah penggunaan tiga bulan kos bagi Four Walls iaitu isi rumah, pengangkutan, tempat tinggal dan bil.

"Tabung kecemasan perlu digunakan pada waktu yang tidak dijangka serta suami isteri perlu menyimpan 50 peratus daripada simpanan setiap seorang," katanya menerusi program berkenaan.

Jelas Nafisah, pembahagian terbabit adalah bagi memudahkan akses kewangan sekiranya terdapat situasi yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, dana terikat atau sinking fund adalah dana bagi situasi yang dijangka akan berlaku bagi mengelakkan masalah beban hutang.

"Cara penyimpanan secara sinking fund ini adalah wajib kerana apabila pasangan tidak dapat menggunakan aliran wang daripada gaji bulanan, simpanan dari sinking fund akan dapat membantu.

"Seterusnya, bagi penyimpanan wang mengikut kategori adalah mengasingkan wang tunai serta penggunaan tanpa tunai atau cashless.

"Pengasingan wang tunai dengan mengeluarkan hanya sekali sebulan dapat meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan wang dan akan cuba memperbaiki cara perbelanjaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai cara pengurusan wang, Nafisah berkata, inisiatif ini dapat dipraktikkan bukan sahaja keluarga, bahkan sesiapa sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 3:38 PM