LIM
LIM

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS) melancarkan KITA Mesra, projek rumah mampu milik yang terdiri daripada 646 unit merangkumi tiga jenis hartanah iaitu rumah bandar, rumah dua tingkat dan rumah setingkat dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM309 juta.

Fasa terdahulu KITA @ Cybersouth terbukti menjadi tarikan dengan kadar pengambilan tinggi menjangkau sehingga 90 peratus bagi semua unit dilancarkan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, KITA Mesra adalah satu lagi projek berkonsepkan mesra jiran yang bakal tampil di perbandaran KITA @ Cybersouth bagi memenuhi impian rakyat memiliki rumah, ditawarkan pada harga mampu milik bagi mereka yang baharu membina keluarga.

"Kami optimis di sebalik tempoh pandemik yang kini memasuki endemik, permintaan pembelian hartanah terus meningkat dan projek ini memberi manfaat kepada pembeli dengan lingkungan harga berpatutan di samping nilai untuk pelaburan jangka panjang," katanya dalam kenyataan.

KITA Mesra dibina di atas Tanah Rizab Melayu dengan mengetengahkan konsep terbuka, di samping ruang luar luas serta mengambil kira ikatan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Kawasan ini turut dikelilingi kehijauan taman ideal bagi aktiviti luar dan rekreasi bagi mewujudkan suasana kejiranan mesra.

Dilengkapi pilihan fasiliti antaranya pusat dan dewan komuniti, ruang, trek joging dan basikal, gelanggang serba guna, taman refleksologi dan pod barbekue yang sesuai untuk aktiviti rekreasi dan komuniti.

Kawalan keselamatan turut diberi fokus utama, apabila KITA Mesra dilengkapi CCTV, kad akses melalui pondok pengawal dan kawalan berjadual.

Kedudukannya yang berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya, di samping akses ke lebuh raya utama dan kemudahan asas menjadikan KITA Mesra sebuah bandar lestari moden.

Projek KITA Mesra turut tersenarai di bawah Kempen Vacci-Nation Bonanza yang dilanjutkan sehingga hujung tahun, di mana LBS memberi insentif tunai RM671,120 dan insentif tunai tambahan sehingga RM334,500 bagi mereka yang mendaftar dan sudah menerima vaksin.

Pada pusingan pertama cabutan bertuah LBS Fabulous 20-21, hadiah bernilai RM445,000 termasuk sebuah Proton X50 diberikan kepada pembeli hartanah LBS yang bertuah.

Bakal pembeli KITA Mesra berpeluang menyertai pusingan kedua cabutan bertuah yang turut menawarkan hadiah lumayan Proton X70, Persona, Iriz dan Exora yang dianggarkan lebih daripada RM750,000 untuk dimenangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:00 AM