Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA).
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA).
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA) kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Turki, terus menerajui pemulihan pengendali lapangan terbang itu, dengan mencatatkan pergerakan 3.2 juta penumpang bulan lepas atau 90 peratus dari tahap pasca-Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata peningkatan sebanyak tujuh peratus dari Julai yang dicatatkan oleh ISGA kekal menjadi penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan sebanyak 3.5 juta penumpang MAHB pada Ogos 2021.

"Sehingga kini, ISGA juga mencatat pergerakan penumpang tertinggi pada Ogos, mencecah tahap 90 peratus yang pernah dicatatkan pada Ogos 2019 disebabkan oleh pertambahan perjalanan pada musim panas.

"Di Turki, kelonggaran merentas sempadan dan antara bandar, pemansuhan perintah berkurung, kemajuan kadar vaksinasi negara yang pantas, penerimaan setara sijil digital Covid-19 Kesatuan Eropah (EU) dan sijil Covid-19 Turki telah mendorong lebih banyak perjalanan di antara Turki dan Eropah serta ke bandar raya Turki pada musim puncak ini," katanya.

Bagi separuh pertama 2021, MAHB berkata, ISGA berada di kedudukan keempat sebagai lapangan terbang tersibuk di Eropah dengan momentum trafik yang berterusan sejak dua bulan lepas.

Ia berkata data tempahan penerbangan menunjukkan Turki dan Istanbul disenaraikan sebagai negara dan bandar utama ketiga terbaik masing-masing pada kadar 62 dan 56.5 peratus pasca 2019.

"Pertambahan dalam permintaan perjalanan udara juga menyebabkan Pegasus, syarikat penerbangan tempatan utama menambah laluan baharu ke Makhachkala, Rusia dengan tiga penerbangan setiap minggu, yang akan menjadi laluan antarabangsa baharu keenam oleh syarikat penerbangan itu yang diperkenalkan pada 2021 selepas Batumi, Odessa, Shymkent, Kherson dan St Petersburg," katanya.

Mengenai prestasi pergerakan penumpang di Malaysia, MAHB berkata rangkaian lapangan terbang tempatan mencatatkan 296,000 penumpang pada Ogos, yang terdiri daripada 88,000 penumpang antarabangsa dan 208,000 penumpang domestik.

Ia berkata walaupun jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan dari Julai, trafik tetap rendah dengan sekatan perjalanan yang berpanjangan terhadap sektor domestik dan antarabangsa.

"Bagaimanapun, dari sudut positifnya, kumpulan menantikan pembukaan gelembung perjalanan domestik bulan ini dengan Langkawi sebagai destinasi pertama.

"Kesemua lapangan terbang bersedia untuk operasi penuh dengan kebanyakan negeri menunjukkan kemajuan di antara Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan petanda yang menggalakkan kepada pemulihan dalam sektor pelancongan tempatan dan pengembaraan," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:37 PM