CIMB akan mengenal pasti individu yang berpotensi terjejas, dan secara proaktif akan berhubung dengan pelanggan ini bagi program bantuan pembayaran balik pascamoratorium. FOTO BERNAMA
CIMB akan mengenal pasti individu yang berpotensi terjejas, dan secara proaktif akan berhubung dengan pelanggan ini bagi program bantuan pembayaran balik pascamoratorium. FOTO BERNAMA
BERNAMA

CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd melalui penggunaan analisis data akan mengenal pasti individu yang berpotensi terjejas, dan secara proaktif akan berhubung dengan pelanggan ini bagi program bantuan pembayaran balik pascamoratorium yang disasarkan oleh bank itu.

CIMB dalam satu kenyataan berkata, SMS akan dihantar kepada lebih daripada 300,000 individu dan 10,000 PKS mulai hari ini supaya mereka dapat melengkapkan permohonan pada 20 Ogos 2020.

Di bawah program itu, peminjam yang kehilangan pekerjaan mereka sejak 1 Januari tahun ini dan masih menganggur, akan diberi pelepasan bayaran selama tiga bulan.

Pelanggan individu atau peminjam yang mengalami penurunan dalam pendapatan adalah layak mendapatkan pengurangan bayaran bulanan untuk sekurang-kurangnya enam bulan merangkumi pembiayaan sewa beli, yang mana pelanggan terbabit akan ditawarkan dengan ansuran yang disemak semula bersama-sama pelanjutan tempoh akhir.

PKS, korporat dan individu akan ditawarkan beberapa opsyen termasuk pelanjutan program bantuan, pembayaran keuntungan atau faedah sahaja, lanjutan tempoh pinjaman atau pembiayaan untuk membolehkan ansuran bulanan yang lebih rendah dan meminda terma serta syarat pinjaman atau pembiayaan, mana yang sesuai.

"Pelanggan yang tidak menerima SMS daripada bank tetapi menjangkakan kesukaran membuat pembayaran selepas 30 September digalakkan untuk berhubung dengan bank mulai 7 Ogos sehingga 7 September.

"Pelanggan dijamin kelulusan automatik, dengan syarat bukti dokumen yang memuaskan diberikan," katanya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, ia tidak akan memberi kesan kepada status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) selagi peminjam terus membuat bayaran pinjaman atau pembiayaan dengan segera berdasarkan jadual pembayaran balik yang dipersetujui.

Sementara itu, bagi mereka yang tidak terjejas, CIMB menyarankan mereka agar meneruskan pembayaran pinjaman atau pembiayaan mereka menjelang Oktober 2020.

"Semua pelanggan, yang terjejas atau sebaliknya, akan dimaklumkan dengan surat daripada bank, memberitahu mereka mengenai langkah seterusnya," kata bank itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 5:58 PM