BUAT julung kalinya, Maxis Berhad melancarkan Maxis Awards bagi mengiktiraf usahawan unggul Malaysia yang menyumbang kemajuan negara dan memberi impak positif kepada semua rakyat.

Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, Maxis menyediakan peruntukan RM5 juta bagi memajukan dan mempromosikan projek pemenang anugerah Maxis Award.

Katanya, peruntukan itu membabitkan bantuan bagi peringkat idea inovasi sehingga peringkat pelaksanaan.

"Program usahawan sosial anugerah ini bertujuan mencungkil idea berwawasan daripada usahawan terpilih dan membantu menghidupkan projek terbabit.

"Mencari idea terbaik dan menukarkannya sebagai peluang menginspirasikan dan kami percaya dengan berganding bahu kita boleh jadi terbaik.

"Selain itu, Maxis memberikan pembiayaan tunai bagi membantu memenuhi keperluan operasi inisiatif serta memaksimumkan daya maju projek.

"Kumpulan juga membantu dari segi pelaburan dalam pemasaran dan publisiti melalui media serta saluran milik Maxis untuk meningkatkan kesedaran terhadap projek dilaksanakan," katanya pada majlis pelancaran Maxis Award secara maya di sini, semalam.

Katanya, anugerah Maxis Awards tepat pada masanya kerana merangkumi semangat bangsa Malaysia yang sentiasa bersatu mendukung harapan walaupun dalam keadaan mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:00 AM