SEBAHAGIAN kakitangan Maxis di Menara Maxis, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
SEBAHAGIAN kakitangan Maxis di Menara Maxis, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Maxis Bhd berjaya meraih dua pengiktirafan terbaharu bagi kategori telekomunikasi merangkumi juara pada Graduates' Choice Award 2022 dan naib juara pada M100 Leading Graduate Employers Awards 2021.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Maxis, Natalia Navin berkata, kejayaan anugerah itu bukti keteguhan budaya kerja Maxis dalam pembelajaran berterusan dan komitmen terhadap pembabitan bakat sedia ada.

Katanya, berpegang kepada warga kerja sebagai asetnya yang bernilai, ia sentiasa berusaha untuk menyerlahkan potensi warga kerja melalui nilai dan budaya syarikat.

"Budaya kerja adalah teras utama yang menjadi panduan dalam mengasah bakat baharu. Sejajar dengan itu, kami amat berbesar hati terpilih sebagai majikan terkemuka di negara ini, yang juga menjadi bukti keberkesanan budaya Maxis Way 2.0 dalam membangunkan bakat berpotensi tinggi dan yang sedia ada.

"Dalam komitmen untuk membina organisasi yang cekap dan bertaraf dunia, kami akan terus menyediakan peluang pekerjaan yang bermakna bagi warga kerja, selain meningkatkan kemahiran mereka untuk menyokong digitalisasi Maxis," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, budaya pembelajaran berterusan Maxis, kampus bakat muda, pembabitan bersama rakan kongsi dan inisiatif pembabitan yang kukuh sudah membawa dua pengiktirafan terbaru bagi kategori telekomunikasi.

Graduates' Choice Award menyaksikan penyertaan 23,000 mahasiswa Malaysia daripada lebih 100 universiti swasta dan awam bagi proses pengundian Majikan Siswazah Pilihan Graduan 2022.

Maxis menjuarai kategori telekomunikasi dan tempat ketujuh secara keseluruhan.

Anugerah M100 Leading Graduate Employers Awards 2021 pula membabitkan ribuan pelajar dari universiti tempatan mengundi melalui tinjauan M100, bagi berkongsi keperluan mereka bagi pekerjaan pertama.

Maxis juga mengukuhkan kedudukannya, dengan menjadi naib juara dalam kategori telekomunikasi.

Maxis juga berkata, bagi memastikan warga kerjanya bersedia untuk perubahan pada masa depan dan terus menerajui, syarikat berkenaan juga mempunyai program biasiswa, latihan amali serta program graduan berfokus pada bakat muda dan wanita dalam Sains, Kejuruteraan, Teknologi dan Matematik (STEM) serta keupayaan kepimpinan dan berinovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 8:21 AM