AHMAD Shah di  kedai serbaneka DesaMall di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. FOTO Amirudin Sahib
AHMAD Shah di kedai serbaneka DesaMall di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. FOTO Amirudin Sahib
Suliati Asri

Putrajaya: Selaku pentadbir program DesaMall@KPLB, syarikat e-commerce enabler, eLokal Sdn Bhd bertindak sebagai rakan strategik Business to Business (B2B) mewakili KPLB untuk menandatangani sebarang Memorandum Persefahaman/Perjanjian/Kontrak dengan entiti perniagaan lain antaranya syarikat penyedia platform e-dagang iaitu Lazada dan Shopee serta syarikat penyedia perkhidmatan logistik seperti Pos Malaysia Berhad dan Risda Fleet Sdn Bhd.

Bukan itu saja eLokal Sdn Bhd turut berperanan sebagai pentadbir DesaMall@KPLB dan bertanggungjawab menguruskan stok usahawan DesaMall@KPLB menerusi sistem StoreHub yang diguna pakai di Gudang DesaMall@KPLB, menerima pesanan pelanggan, penghantaran produk kepada pembeli, urusan pembayaran oleh pembeli selain menguruskan sebarang pertanyaan oleh pembeli berkenaan produk yang dipasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif eLokal Sdn Bhd Ahmad Shah Wahid berkata, dengan bimbingan dan persetujuan KPLB, eLokal Sdn Bhd turut bertanggungjawab merangka pelan pemasaran produk dan perkhidmatan usahawan DesaMall@KPLB untuk meningkatkan lagi visibility produk usahawan DesaMall@KPLB.

"Antara usaha pemasaran dilaksanakan bersama adalah termasuk penggunaan baucar tunai untuk ditebus oleh pembeli ketika pelaksanaan Karnival Usahawan Desa secara dalam talian yang dilaksanakan pada 2020.

"Ini membolehkan usahawan luar bandar untuk hanya menumpukan perhatian kepada penghasilan produk bagi memenuhi pesanan serta penambahbaikan produk," katanya.

Mengulas lanjut mengenai program DesaMall@KPLB Ahmad Shah berkata, bagi usahawan yang mengikuti program ini, ia mempunyai enam saluran dengan fungsi masing-masing.

Enam saluran ini diberi kepada usahawan luar bandar supaya mereka boleh menggunakan sebaiknya saluran itu untuk memajukan produk mereka dan saluran pertama adalah e-dagang.

Menurutnya, apabila usahawan luar bandar mengikuti program ini, ia dipanggil DesaMall Experience.

"Menerusi DesaMall Experience ini, usahawan akan bermula dengan e-dagang iaitu DesaMall@KPLB dengan kedai rasmi di dalam Lazada, Shopee, eBay dan banyak lagi.

"Selepas e-dagang, usahawan luar bandar akan bergerak ke peringkat seterusnya iaitu on demand yang dilaksanakan bersama GrabMart dan PandaMart.

"Menerusi 'on demand' ini, jika produk usahawan ini memenuhi kriteria, ia akan ke saluran ketiga iaitu Hub Runcit DesaMall@KPLB," katanya.

Hub Runcit ini adalah kedai fizikal di 11 lokasi dan ia mempunyai tiga fungsi iaitu untuk produk dipamer dan dijual, untuk produk usahawan dibeli secara fizikal dan ketiga lokasi usahawan menghantar stok produk," katanya.

ANTARA barangan keperluan asas yang boleh didapati di DesaMall Putrajaya.
ANTARA barangan keperluan asas yang boleh didapati di DesaMall Putrajaya.

Ahmad Shah berkata, bagi memantapkan lagi ekosistem DesaMall@KPLB ini, pihak eLokal menambah lagi saluran keempat iaitu jualan secara langsung yang menggunakan DesaMall@lazada dan DesaMall@shopee atau Lazlive dan Shopeelive.

Menerusi jualan secara langsung ini, kata Ahmad Shah, setiap bulan, enam sesi jualan langsung diadakan dengan memanggil usahawan menerangkan sendiri atau memperkenalkan produk masing-masing.

"Jika produk makanan, usahawan akan membuat demontrasi memasak, pertunjukan fesyen untuk produk fesyen, fungsi dan cara menghasilkan kraf untuk produk kraf dan banyak lagi.

"Menariknya, semasa bersiaran langsung, penonton ditawarkan diskaun serta baucar tunai yang boleh digunakan secara terus membuat pembelian," katanya.

Saluran kelima dalam ekosistem DesaMall@KPLB ini pula yang juga pelengkap kepada semua operasi adalah Trak DesaMall On The Go.

Ahmad Shah berkata, Trak DesaMall On The Go ini mempunyai tiga fungsi iaitu pertama mengikuti setiap acara yang dilakukan di seluruh negara.

"Kedua, ia berfungsi sebagai foodtruck yang mana boleh menjual barang kering dan sedia untuk di makan. Fungsi ketiga pula adalah mengambil barang dari hub runcit yang ada di 11 lokasi," katanya.

Saluran terakhir pula kata Ahmad Shah adalah logistik dan gudang.

"Awalnya dulu, usahawan luar bandar perlu menghantar barangan mereka terus kepada gudang tapi kini mereka hanya hantar ke hub runcit (stor konsep/stor mini) dan kita akan ambil di situ.

"Ia sekali gus memudahkan urusan usahawan luar bandar yang hanya perlu memberi tumpuan kepada penghasilan produk.

"Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun ini, keseluruhan proses DesaMall@KPLB ini lengkap untuk membantu usahawan. Setakat ini juga lebih 2,000 usahawan luar bandar yang menyertai DesaMall@KPLB dengan produk lebih 2,300," katanya.

Mengulas mengenai stor konsep DesaMall@Lipis yang dirasmikan hari ini Ahmad Shah berkata, pihaknya mengaktifkan saluran hub runcit di DesaMall@KPLB di Lipis, Pahang.

Dikenali sebagai Stor Konsep DesaMall@Lipis, sebanyak 80 peratus produk ditempatkan di hub runcit itu adalah produk tempatan manakala 20 peratus adalah produk dari negeri lain.

"Di situ juga kita aktifkan saluran kedua iaitu 'on demand' iaitu DesaMall@PandaMart. Dengan itu, masyarakat sekeliling boleh beli secara dalam talian, membuat tempahan makanan menerusi aplikasi Foodpanda.

"Kita juga menggunapakai StoreHub yang membolehkan masyarakat sekeliling menggunakan aplikasi WhatsApp dan scan kod QR yang dipanggil pin StoreHub. Dengan itu, mereka boleh membuat pesanan, bayar dan mengambilnya sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 10:44 AM