PENIAGA mempamerkan pelbagai jenis tanaman bunga untuk dijual kepada orang ramai di Pasar Tani Batu Kikir, Kuala Pilah yang mula beroperasi, semalam.
PENIAGA mempamerkan pelbagai jenis tanaman bunga untuk dijual kepada orang ramai di Pasar Tani Batu Kikir, Kuala Pilah yang mula beroperasi, semalam.
BERNAMA

Kuala lumpur: Memandangkan keadaan ketidakstabilan politik negara telah mereda dan kadar vaksinasi terus meningkat, tumpuan utama kini untuk menggerakkan kembali ekonomi serta membuka semula lebih banyak sektor bagi memastikan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal bertahan, kata seorang ahli ekonomi.

Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata, inisiatif pemberian bantuan pembayaran sekali kepada PKS mungkin tidak lagi berkesan sekarang kerana perniagaan perlu menjana pendapatan mereka sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kita perlu memastikan ada kecairan dalam pasaran dan perniagaan dapat menjana pendapatan bagi menampung gaji pekerja mereka dan menghasilkan pengganda ekonomi apabila menjalankan urus niaga.

"Ini hanya boleh dicapai dengan membukakan lebih banyak sektor ekonomi secepat mungkin dan membenarkan orang ramai untuk bergerak antara daerah dan negeri, tetapi sudah tentunya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada program Mid-day Update Bernama TV, semalam.

Sementara itu, Ahmed Razman berkata, keyakinan pelabur tempatan mungkin kembali pulih apabila ketidakstabilan politik negara mereda dengan pelantikan perdana menteri baharu.

"Kita boleh lihat petandanya sekiranya anda melihat kepada bursa saham dan FTSE Bursa Malaysia KLCI sejak dua hari lalu apabila ia meningkat di atas paras 1,500," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pelabur asing mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka mungkin mahu melihat dahulu bagaimana pembentukan kabinet kerajaan.

"Mereka mungkin juga mahu mengetahui apa yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Oktober," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:29 AM