KEDAI barang kemas di sepanjang Jalan Masjid India di ibu negara beroperasi sepenuhnya. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI
KEDAI barang kemas di sepanjang Jalan Masjid India di ibu negara beroperasi sepenuhnya. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI
Oleh Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Perdana Menteri baharu yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara perlu memastikan kelangsungan perniagaan serta pengukuhan ekonomi dengan kadar segera, demikian menurut dewan dan persatuan perniagaan di Malaysia.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, keadaan ekonomi Malaysia ketika ini tertekan dengan kebanyakan peniaga domestik hampir kehilangan pendapatan.

Beliau berkata, kerajaan baru yang akan dilantik kelak perlu pantas dalam mengatasi masalah ekonomi dan kesihatan rakyat, sekali gus memberikan sinar baru kepada negara.

"Vaksin Covid-19 perlu diperhebatkan lagi agar dapat capai imuniti kelompok dengan kadar segera. Apabila imuniti dapat dicapai, ia membolehkan ekonomi dibuka sepenuhnya.

"Sehingga imuniti itu dapat dicapai dan ekonomi berkembang, kerajaan perlu memperkenalkan polisi fiskal yang lebih menyeluruh merangkumi setiap aspek keperluan rakyat dan perniagaan.

"Salurkan sumber kewangan yang lebih besar bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara. Ia bagi memastikan negara bersedia dalam memberikan rawatan segera disebabkan pandemik ini," katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk AT Kumarajah yang menyatakan ekonomi perlu kembali kukuh bagi meningkatkan semula keyakinan serta pendapatan rakyat.

Beliau berkata, Malaysia perlu segera sembuh dari sebarang 'kelukaan' akibat pandemik dan politik selain rakyat juga perlu berusaha bersama meningkatkan kadar vaksinasi, yang akan menjadi perlindungan kuat untuk pemulihan kesihatan dan ekonomi.

"Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu diteruskan dengan mengenal pasti potensi yang boleh dipertingkatkan. Kembalikan keyakinan dalam pasaran domestik kerana 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah dari domestik.

"Nama Malaysia perlu diperkukuhkan. Ia sangat penting kerana kekuatan kita selama ini adalah kestabilan politik dan kekuatan itu jelas merosot dengan teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kekuatan ini juga akan memberikan keyakinan semula kepada pelaburan langsung asing (FDI)," katanya.

Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong pula berkata, berdasarkan data terbaru pihaknya, hampir semua PKS berdepan dengan ketidakstabilan operasi dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata, krisis kewangan perniagaan disebabkan pandemik Covid-19 ini berkemungkinan akan diburukkan lagi dengan konflik ketidaktentuan politik negara.

"Perlu difahami, perniagaan ini berkait rapat dengan sektor pekerjaan. Jika perniagaan terumbang-ambing, tiada hala tuju yang jelas mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan pembukaan ekonomi sepenuhnya, pekerja juga berisiko untuk kehilangan kerja.

"Malaysia perlu segera memulihkan ekonomi dan bergerak semula ke hadapan. Banyak PKS berisiko menutup operasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

"Kerajaan sudah melaksanakan langkah pemulihan yang bagus selama ini, tetapi ia masih tidak mencukupi. Keyakinan pengguna atau rakyat masih tiada," katanya.

Chee Seong berkata, kerajaan baru nanti perlu melaksanakan pertemuan dan perbincangan dengan semua peserta industri bagi menentukan SOP dan langkah yang bersesuaian.

Beliau berkata, ini kerana setiap industri mempunyai pendekatan dan keperluan yang berbeza, lantaran itu ia memerlukan pembabitan secara bersama kerajaan dan sektor swasta.

Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Raymond Woo berkata, polemik politik semasa perlu dihentikan secepat mungkin dan memikirkan bagaimana ingin memulihkan negara secara bersama terlebih dulu.

Beliau berkata, ia penting bagi memberikan keyakinan kepada rakyat, pelabur dan ekonomi Malaysia.

"Kami berharap krisis politik akan diselesaikan dengan secepat mungkin. Malah PPN dan vaksinasi perlu dipercepatkan serta ditambah baik bagi kesejahteraan ekonomi dan rakyat.

"Menteri Kewangan yang bakal dilantik kelak perlu mengadakan pertemuan dengan persatuan perniagaan. Ini kerana bagi memastikan bagaimana kita dapat bersama membantu perniagaan yang terkesan akibat Covid-19 ketika ini seperti yang dilaksanakan pada krisis kewangan 1997 dan 2008," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Mohamed Mustakim Manaf, pula berkata harapan peniaga hanya satu, Malaysia dapat bangkit kembali dengan kuat dan menjadi antara negara teratas Asean.

Beliau berkata, BRO juga berharap kepemimpinan baru kerajaan akan dapat memacu negara ke arah pemulihan ekonomi dengan lebih pantas.

"Malaysia mempunyai potensi dan sudah terbukti sebelum ini. Pandemik Covid-19 memberikan impak kepada perniagaan dan ekonomi serta kesihatan rakyat.

"Kita perlu pastikan, semua pihak bersama dalam memacu kembali ekonomi negara, demi rakyat itu sendiri," katanya.

Mustakim berkata, kerajaan baru kelak perlulah memastikan kestabilan politik dapat dilaksanakan dan menjalin kerjasama tanpa mengira fahaman politik demi kepentingan negara.

Beliau berkata, hanya dengan kestabilan politik ini, kerajaan baru dapat memfokuskan tenaganya kepada krisis kesihatan, kebangkitan ekonomi dan pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:01 AM