SECARA purata, pekerja ingin bekerja antara dua dan tiga hari dari jarak jauh selepas wabak.
SECARA purata, pekerja ingin bekerja antara dua dan tiga hari dari jarak jauh selepas wabak.

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia memilih cara bekerja fleksibel pasca-Covid-19, dengan sebahagian sanggup meletak jawatan sekiranya majikan tidak memberi pilihan cara kerja seumpama itu.

Menurut hasil kaji selidik terkini dijalankan Ernst & Young (EY) iaitu Kaji Selidik Gambaran Semula Kerja Pekerja 2021 EY menunjukkan 23 peratus responden memilih bekerja di mana saja, bekerja jarak jauh secara sepenuh masa (29 peratus), atau dalam aturan kerja hibrid seperti gabungan antara kerja di pejabat dan kerja jarak jauh (25 peratus).

Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan hanya 22 peratus pekerja di Malaysia lebih suka bekerja dari pejabat sepenuh masa selepas pandemik ini berakhir.

Kaji selidik itu membabitkan lebih 16,000 pekerja di 16 negara, termasuk Malaysia, yang meninjau sikap dan pengalaman pekerja untuk bekerja sepanjang pandemik dan menjadi 'normal seterusnya'.

Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan sembilan dalam 10 pekerja Malaysia mahukan fleksibiliti di mana dan bila mereka bekerja, dengan 45 peratus mempertimbangkan meninggalkan pekerjaan pasca-Covid-19.

Dengan pilihan antara dua pekerjaan, pilihan mereka adalah sama rata dengan 48 peratus memilih fleksibiliti ketika mereka bekerja dan 47 peratus memilih fleksibiliti di tempat mereka bekerja.

Secara purata, pekerja ingin bekerja antara dua dan tiga hari dari jarak jauh selepas wabak dengan lebih satu pertiga (36 peratus) responden mengatakan mereka menginginkan minggu kerja lebih pendek sama sekali.

Majoriti (63 peratus) percaya produktiviti mereka dapat diukur secara tepat tanpa mengira lokasi.

Namun, terdapat persepsi kukuh (72 peratus) bahawa aturan sedemikian mempengaruhi akses mereka kepada peluang kerjaya.

Walaupun terdapat kesediaan menukar urusan kerja kepada lebih fleksibel, kebanyakan responden pekerja (75 peratus) mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan pekerjaan mereka, dan hampir semua (89 peratus) mengatakan mereka merancang tetap memegang jawatan ketika ini selama 12 bulan berikutnya.

Pemimpin Perkhidmatan Penasihat Malaysia dan Asean EY, Tan Lay Keng berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan perubahan besar membabitkan tempat, ketika dan bagaimana orang bekerja.

Beliau berkata, majikan yang menggalakkan aturan kerja hibrid dan memberikan fleksibiliti kepada pekerja untuk bekerja di mana saja dan bila-bila masa adalah lebih maju.

Majikan itu, katanya, cenderung mempunyai daya tarikan, pengekalan dan kepuasan pekerja lebih baik dalam jangka panjang, yang dapat memberi kesan positif kepada perniagaan.

"Pekerja dikaji melihat majikan mengambil langkah membolehkan mereka bekerja secara produktif dan menguruskan beban kerja lebih baik dalam persekitaran hibrid baharu ini.

"Dengan melabur dalam teknologi kerjasama, memberikan faedah pekerja yang menyokong penubuhan pejabat di rumah dan membina budaya berpasukan utuh, majikan ini cenderung lebih berjaya dalam keadaan baharu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:00 AM