SHELL Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia 2021. FOTO Bloomberg
SHELL Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia 2021. FOTO Bloomberg
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Shell Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia 2021 oleh Randstad, agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia.

Pencapaian Shell Malaysia dalam anugerah itu adalah kali ketiga selepas meraih pengiktirafan sama pada 2016 dan 2017.

Pengarah Urusan Randstad bagi Singapura dan Malaysia, Jaya Dass berkata, pencapaian Shell Malaysia dikecapi hasil usahanya mengekalkan jenama majikan yang kukuh ketika Covid-19.

"2020 menjadi satu lagi tahun paling mencabar kepada semua majikan di Malaysia di mana krisis ini menggariskan betapa pentingnya kejayaan mengukuhkan jenama majikan dan kemampuan organisasi muncul lebih kukuh daripada wabak ini.

"Banyak majikan luar biasa bekerja keras selama 12 bulan terakhir bagi memastikan keselamatan pekerja selain menguruskan kesan ekonomi yang serius.

"Walaupun Malaysia terkesan, kami yakin ekonomi akan kembali pulih pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan.

Pemenang Anugerah Jenama Majikan Randstad bagi 2021 dipilih daripada kalangan 75 syarikat komersial paling menarik untuk bekerja di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Selain Shell Malaysia, Nestlé Malaysia dan Intel Malaysia menjadi tiga majikan paling menarik tahun ini.

Anugerah itu mengiktiraf tiga syarikat komersial utama yang meraih skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 8:21 AM