AZRUL Osman
AZRUL Osman

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM191.1 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021 daripada kerugian sebanyak RM29.4 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan susut kepada RM5.10 bilion daripada RM6.55 bilion pada suku yang sama tahun lalu kerana jumlah yang lebih rendah terkesan akibat krisis pandemik Covid-19 berpanjangan selain daripada pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, syarikat itu memulakan strategi bagi berdaya tahan untuk kekal meraih keuntungan.

"Strategi pertumbuhan kami adalah berkaitan dengan digitalisasi operasi dan mempelbagaikan portfolio produk untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berubah-ubah dengan memanfaatkan produk bahan bakar terbaik dan penawaran bukan bahan bakar.

"Usaha berdaya tahan untuk masa depan ini menyokong prestasi PDB setakat ini dan kami akan terus berinovatif dalam mempelbagaikan aliran pendapatan," katanya dalam kenyataan.

Azrul berkata, walaupun trend kenaikan Brent pada suku pertama 2021 dan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberi prospek positif untuk pemulihan perniagaan, PDB akan kekal berhati-hati dengan perbelanjaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 10:28 AM