KWSP memerlukan sedikit masa bagi memproses permohonan i-Sinar berikutan berlaku perubahan dalam proses kelulusan.
KWSP memerlukan sedikit masa bagi memproses permohonan i-Sinar berikutan berlaku perubahan dalam proses kelulusan.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu membekukan sementara transaksi membabitkan i-Sinar bagi membolehkan sistem KWSP mengkreditkan dividen tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman prestasi kewangan dibuat hujung bulan ini.

Ia juga memerlukan sedikit masa untuk memproses permohonan i-Sinar berikutan berlaku perubahan dalam proses kelulusan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan berbincang dengan KWSP untuk mempermudah proses kelulusan terutama bagi mereka yang membuat permohonan atau permohonannya sedang diproses.

"Pengumuman dibuat pada 11 Februari lalu mengenai pemansuhan syarat i-Sinar bertujuan mempermudah ahli membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1.

"Langkah ini diharap membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

"Sehubungan itu, kerajaan berbincang dengan KWSP untuk mempermudahkan proses kelulusan.

"Ini akan membabitkan perubahan kepada sistem KWSP yang akan mengambil sedikit masa.

"Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu bagi membolehkan sistem KWSP mengkreditkan dividen tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung bulan ini," katanya dalam kenyataan sempena Laporan Laksana ke-41 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), semalam.

Minggu lalu, KWSP dengan kelulusan Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Pada 11 Februari lalu, Tengku Zafrul turut mengumumkan KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas pihak awam.

Katanya, pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 7:00 AM