MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
MALAYSIA diiktiraf  antara negara yang melaksanakan pakej sokongan ekonomi luar biasa.
MALAYSIA diiktiraf antara negara yang melaksanakan pakej sokongan ekonomi luar biasa.
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri


MALAYSIA diiktiraf sebagai antara negara yang melaksanakan pakej sokongan ekonomi luar biasa selain Thailand, menurut laporan Global Economic Prospects June 2020 oleh Kumpulan Bank Dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, memetik laporan itu, Malaysia dan Thailand melaksanakan pakej sokongan ekonomi luar biasa yang menyamai masing-masing sekitar 17 dan 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, pakej sokongan yang dilaksanakan itu memfokuskan kepada kesejahteraan dan kesihatan awam, penyediaan penjagaan, jaminan pinjaman dan insentif perniagaan.

"Berdasarkan pencapaian setakat ini, respons melalui inisiatif Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) terhadap krisis ini tepat dan bersesuaian.

"Perkembangan positif ini juga disokong oleh kerancakan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang beransur pulih dan meningkat dalam bulan yang akan datang.

"Salah satu bukti pemulihan ekonomi ialah laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi jualan perdagangan borong dan runcit bagi bulan Mei lalu di tahap RM84.4 bilion.

"Ini adalah peningkatan RM17.5 bilion atau 26.3 peratus berbanding April lalu," katanya dalam Laporan Laksana Ke-14 Pelaksanaan Prihatin dan Penjana di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan juga sudah menjangkakan kadar pengangguran akan naik iaitu 5.3 peratus bagi Mei lalu berbanding 5.0 peratus pada April lalu.

"Tetapi apa yang lebih penting adalah sama ada langkah pembukaan ekonomi dan pengekalan pekerjaan mempunyai impak positif ke atas kadar pekerja yang kembali bekerja.

"Ini terbukti melalui data DOSM yang menunjukkan hingga 2 Jun lalu, lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu," katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, adalah penting untuk kita menyedari negara belum bebas daripada kesukaran ini dan harus bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan lebih buruk sebelum menjadi lebih baik.

Ini kerana katanya, sebagai ekonomi terbuka, pemulihan ekonomi negara juga bergantung kepada seberapa baik pemulihan ekonomi global.

"Tetapi, kita boleh mengawal apa yang berlaku di dalam negara dan terhadap diri sendiri. Salah satu usaha yang dapat dilakukan adalah mencari pertolongan awal untuk membayar obligasi kewangan kita, sekiranya kita merasakan mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menyusun kembali kewangan untuk berada pada tahap lebih kukuh.

"Bantuan boleh didapati dari institusi kewangan, atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk individu, Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) untuk PKS dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) untuk syarikat lebih besar," katanya.

"Orang ramai sekali lagi diingatkan kes aktif dan kes baharu wabak pandemik walaupun rendah, tetapi masih wujud di dalam negara.

"Justeru, rakyat diminta untuk terus kekal patuh dengan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha menyekat penularan kedua wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:50 AM