PENUMPANG kini boleh mendaftar masuk dengan mudah pada baris CIC.
PENUMPANG kini boleh mendaftar masuk dengan mudah pada baris CIC.
Bisnes HM


MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menyusun semula kaunter daftar masuk (CIC) dan memindahkan beberapa kiosk layan diri untuk meningkatkan pengalaman penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Inisiatif ini dilakukan bagi mencapai pengagihan aliran penumpang yang sama di semua baris CIC pada waktu puncak.

Antara penerbangan yang terbabit dalam inisiatif ini adalah Malaysia Airlines dengan kod penerbangan MH, Malindo Air (OD), Thai Smile (WE), Vietnam Airlines (VN), Pakistan Airlines (PK), Royal Jordanian (RJ), Cathay Dragon (KA), Philippines Airlines (PR) dan Bangkok Airways (PG).

Bermula 7 Ogos ini, semua penumpang MH yang mendaftar di kelas ekonomi ke destinasi antarabangsa, perlu mendaftar masuk di baris H.

Sementara itu, syarikat penerbangan yang kini beroperasi di baris H, iaitu dengan kod WE, VN, PK, RJ, KA, PR dan PG akan bergerak ke baris C, dan kod OD akan berpindah ke baris F.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya komited dalam meningkatkan perjalanan penumpang di lapangan terbang.

"Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan MH dan syarikat penerbangan lain dalam melaksanakan inisiatif ini.

“Ini adalah usaha bersepadu oleh komuniti lapangan terbang untuk meningkatkan budaya perkhidmatan prihatin bagi memastikan keselesaan penumpang di setiap langkah," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Izham Ismail berkata, pihaknya menantikan penempatan semula ini bagi memastikan penumpang dapat berurusan dengan selesa.

“Penumpang kini boleh mendaftar masuk dengan mudah pada baris CIC yang ditetapkan dalam tempoh yang lebih singkat.

“Ini memenuhi janji jenama kami untuk menyediakan Malaysian Hospitality dalam meningkatkan pengalaman perjalanan mereka melalui penambahbaikan yang dibuat kepada produk dan perkhidmatan kami," katanya.

Selama 21 tahun, Malaysia Airlines telah beroperasi di baris B, C dan D yang berurusan dengan lebih 4,000 penumpang daripada 8,000 penumpang yang turut berurusan dengan syarikat penerbangan lain di baris A, E, F dan G dari 6 hingga 9 pagi setiap hari.

Bagi baris H hingga M, bilangan penumpang boleh mencapai sehingga 2,000 orang.

Dengan barisan CIC yang baru disusun semula, MAHB berharap untuk mencapai pengedaran penumpang yang sama di semua baris serta mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus aliran semasa.

Di samping itu, inisiatif ini juga akan menggalakkan lebih ramai penumpang menggunakan kiosk daftar masuk diri untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 7:34 PM