TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi (dua dari kiri) dan   Rosenberger (dua dari kanan) pada pelancaran MHholidays di Kuala Lumpur.
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi (dua dari kiri) dan Rosenberger (dua dari kanan) pada pelancaran MHholidays di Kuala Lumpur.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: TUI Group, syarikat pelancongan global yang berpangkalan di Jerman melihat potensi Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai pemangkin untuk membina portfolionya bagi mencapai sasaran menarik sejuta pelanggannya dari luar Eropah.

Sasaran yang ditetapkan melalui Inisiatif TUI 2020 itu bertujuan untuk meluaskan rangkaian pelanggannya di luar Eropah berikutan sebahagian besar pelanggan Kumpulan itu adalah dari Eropah.

Lembaga Pengarah Eksekutif TUI Group, Frank Rosenberger berkata, pihaknya turut berhasrat menarik antara 20 hingga 30 peratus pelanggan rantau Asia daripada sejuta pelanggan yang disasarkan itu.

“Kami yakin kerjasama dengan MAB ini akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran ini dan pada masa sama berpotensi membawa lebih ramai pelancong Eropah ke Malaysia melalui penerbangan terus antara United Kingdom dan Kuala Lumpur,” katanya selepas pelancaran MHholidays, di sini.

MHholidays adalah platform pasaran perjalanan terkini yang dibangunkan melalui kerjasama MAB dan TUI Group di mana ia membolehkan pelancong merancang pakej percutian mereka dengan menggabungkan penerbangan dan hotel.

Sementara itu, Kumpulan terbabit merancang untuk membawa 7,000 pelancong Eropah secara berperingkat ke Pulau Langkawi dalam tempoh antara Disember 2019 hingga Mac 2020.

Beliau berkata, pihaknya mahu mengangkat kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau Asia Tenggara dengan memanfaatkan pasaran pelancongan, MHholidays.

Menurutnya, sektor pelancongan global berkembang enam peratus pada tahun lalu dan Kumpulan menjangkakan momentum pertumbuhan itu akan berterusan pada tahun ini terutama di rantau Asia Tenggara.

“Pada masa sama, pelancong Malaysia akan mendapat manfaat daripada peluang percutian baharu melalui rangkaian pengedaran global TUI yang membabitkan lebih 400 hotel di 115 destinasi seluruh dunia,” katanya.

TUI Group adalah syarikat pelancongan berpangkalan di Jerman yang memiliki rantaian operasi pelancongan lengkap di lebih 180 destinasi seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:23 AM