ABDUL Khani (tengah) dan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau (kanan) menyerahkan sijil operator pelancongan kepada Ketua Dasar Awam di Korporat Kumpulan TUI dan Perhubungan Dalaman, Frank Puttmann.
ABDUL Khani (tengah) dan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau (kanan) menyerahkan sijil operator pelancongan kepada Ketua Dasar Awam di Korporat Kumpulan TUI dan Perhubungan Dalaman, Frank Puttmann.
Hafiz Ithnin

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTac) terus memfokuskan peningkatan jumlah operator pelancongan bagi membantu mencapai 30 juta kedatangan pelancong ke Malaysia menjelang 2020.

Setakat ini, terdapat lebih 8,000 operator pelancongan terdiri daripada pemilik tempatan sepenuhnya, selain usaha sama tempatan bersama pemegang ekuiti asing yang beroperasi di negara ini.

Dalam masa sama, bagi meningkatkan penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul, operator asing juga tidak ketinggalan menjadikan Malaysia sebagai destinasi operasi perniagaan masingmasing.

Timbalan Pengarah Besar (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata, setakat ini terdapat 17 operator asing beroperasi di Malaysia bagi mempromosikan negara sebagai destinasi percutian kepada pelancong asing khasnya.

Beliau berkata, antara 17 operator itu adalah peneraju operator pelancongan antarabangsa, Kumpulan TUI yang beribu pejabat di Eropah dan berjaya menarik lebih 7,000 pelancong ke Malaysia.

“Kumpulan TUI sudah mendapat lesen operasi pelancongan di Malaysia bagi aktiviti melancong di dalam dan luar negara serta penjualan tiket dalam kegiatan berkenaan.

“Antara yang menjadi fokus di Malaysia adalah memperkenalkan pakej cruise dan penerbangan dari London, Birmingham dan Manchester ke Pulau Langkawi, Kedah.

Kemudian pelancong juga akan melakukan aktiviti cruise di Langkawi dan beberapa lokasi perairan di Asean selama enam hari tujuh malam.

“Langkawi akan menjadi hab bagi aktiviti cruise berkenaan. Kita juga berbangga kerana syarikat asing itu memilih Malaysia sebagai hab bagi dua kapal cruise iaitu Marella dan MeinShchiff,” katanya pada majlis memperkenalkan kumpulan syarikat itu kepada Mediax, baru-baru ini.

Langkah itu dijangka dapat membantu menonjolkan Langkawi sebagai hab cruise dan Malaysia sebagai destinasi percutian ideal untuk pelancong di Eropah.

Mengulas berkenaan Bajet 2019 yang bakal dibentangkan, beliau berharap kerajaan turut memfokuskan kepada aktiviti promosi pelancongan khasnya membabitkan Malaysia dalam acara promosi antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya kekurangan dana bagi mempromosikan pelancongan Malaysia dalam acara antarabangsa dan perkara itu penting kerana ia dapat menarik bukan saja kehadiran pelancong asing, malah pelabur.

“Setiap tahun, kami menghadiri sekitar enam acara promosi antarabangsa dan seperti Kumpulan TUI ini, kami bertemu dalam salah satu acara berkenaan.

“Hasil kemasukan Kumpulan TUI ke Malaysia yang juga pertama ia beroperasi di Asia Tenggara menunjukkan keperluan untuk menarik kehadiran pelabur asing dalam industri pelancongan menerusi acara promosi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:36 PM