ABDUL Rahim.
ABDUL Rahim.
Sri Ayu Kartika Amri


KUB Malaysia Berhad (KUB), komited untuk meningkatkan penguasaan pasarannya bagi segmen gas petroleum cecair (LPG) kepada 18 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun berbanding 10 peratus pada masa ini.

Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin berkata, pihaknya berharap dapat memperkembang segmen LPG sekali gus mengekalkan sumbangan segmen itu kepada pertumbuhan keuntungan kumpulan.

Katanya, setakat ini segmen LPG menyumbang sekitar 70 peratus kepada perolehan kumpulan.

"Pada tahun kewangan tahun lalu, perolehan segmen LPG direkodkan sebanyak RM400 juta manakala, untung sebelum cukai dicatatkan mencecah RM9 juta dan kami positif untuk meningkatkan jumlah sedia ada terutama dengan pelbagai usaha dan strategi yang dilaksanakan oleh KUB.

"KUB juga memperuntukkan sebanyak RM11 juta untuk membina kilang pembotolan di Beranang dan ia akan dilancarkan pada Ogos ini yang mana dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran silinder gas kami kira-kira-kira 4,000 silinder sehari," katanya pada sidang media selepas pelancaran gudang solar gas baharu LPG KUB Gaz di Hulu Langat, hari ini.

KUB Gaz Sdn Bhd (KUB Gaz) adalah anak syarikat milik penuh KUB.

Abdul Rahim berkata, LP Gas Trading akan mengedarkan silinder jenama Solar Gas di sekitar kawasan perumahan, kedai runcit dan komersial terutama di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, berdasarkan potensi permintaan LPG yang semakin meningkat dalam pasaran domestik dan komersil, pihaknya berharap dapat meluaskan perkhidmatan di lokasi yang belum ditembusi.

"Kami juga memperkenalkan imej baharu silinder LPG KUB Gaz iaitu berwarna emas dengan logo Solar Gas yang berkualiti tinggi dan selamat. Pelanggan dijangka dapat melihat lebih banyak silinder baharu ini dalam pasaran bermula bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 7:43 PM