Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor (UMWT), pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Toyota di negara ini memperkenalkan model hatchbak Toyota Yaris Serba Baharu di Petaling Jaya, hari ini.

Presidennya, Ravindran K berkata mereka sudah agak lama tidak menawarkan model sebegini yang mana kali terakhir Yaris dipasarkan ialah pada 2006 hingga 2012 yang terjual melebihi 1,000 unit.

“Zaman berubah...begitu juga permintaan pelanggan terutama golongan muda yang mahukan hatchback untuk tampil lebih bergaya dan sporty maka adalah bertepatan masanya melancarkan Yaris Serba Baharu ini,” katanya.

Tiga varian ditawarkan iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G dengan enjin berkuasa 1,496 cc DOHC Dual-VVT-i 4 silinder dengan kuasa maksimum 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140Nm pada 4,200 rpm.

Model yang dilengkapi transmisi 7-kelajuan Sport Sequential Shiftmatic CVT itu juga dipadankan dengan rim aloi 16 inci (varian E dan G) selain dilengkapi lampu hadapan dan belakang LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

Untuk kemasan dalaman ia disertakan dengan kerusi fabrik biru dan Paparan -Maklumat-Pelbagai TFT (varian G) serta mod pemanduan Sport dan Eco, pemain DVD bersaiz 7 inci serta skrin sesentuh, USB, MP3, Voice Dial, AUX dan Bluetooth.

Antara ciri keselamatan Yaris ialah tujuh beg udara SRS, Monitor Titik Buta (BSM) dan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Kuasa-Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek (BA) juga Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) serta Kawalan Cengkaman (TRC) dan Bantu Mula-Bukit (HAC).

Sebanyak lima pilihan warna ditawarkan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Yaris dijual pada harga RM70,888 (1.5J), RM76,888 (1.5E) dan RM83,888 (1.5G).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:27 PM
DUTA Toyota Yaris, Janna Nick ketika majlis pelancaran Toyota Yaris serba baharu di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
DUTA Toyota Yaris, Janna Nick ketika majlis pelancaran Toyota Yaris serba baharu di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria