Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pelaburan langsung yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama bagi separuh pertama 2016 berjumlah RM88.4 bilion menyusut berbanding RM125.9 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Pelaburan diluluskan pada separuh pertama ini juga membabitkan 2,499 projek dan dijangka membuka peluang lebih 76,000 pekerjaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan asas yang kukuh, Malaysia dilihat akan kekal mencapai pertumbuhan yang stabil dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

“Sebanyak RM28.2 bilion FDI diluluskan pada separuh pertama 2016 dan pelaburan asing yang diluluskan pula mencecah 78.2 peratus atau RM67.5 bilion diikuti sektor pembuatan dengan pelaburan berjumlah RM19.6 bilion atau 22.2 peratus, sementara sektor utama menyumbang pelaburan RM1.3 bilion (1.5 peratus).

“MIDA pula meluluskan 128 pertubuhan perkhidmatan global dengan pelaburan RM7.3 bilion,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.

Menurutnya, menerusi pembukaan pertubuhan perkhidmatan global juga akan meningkatkan permintaan bagi golongan profesional dalam rantaian pengurusan, kewangan, perbendaharaan, maklumat dan data bagi berkhidmat dalam syarikat antarabangsa.

Beliau berkata, selain itu jumlah pelaburan diluluskan bagi sub sektor bernilai RM10 bilion iaitu 51 peratus manakala sektor elektrik dan elektronik, produk kimia, peralatan perubatan menyumbang lebih 50 peratus kepada jumlah eksport.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 7:12 AM