DR Mahathir bersama Lim Guan Eng (dua dari kiri), Nor Shamsiah (kanan) serta Syed Zaid (kiri) menunjukkan Buku Malaysia Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, di Sasana Kijang, Kula Lumpur.
DR Mahathir bersama Lim Guan Eng (dua dari kiri), Nor Shamsiah (kanan) serta Syed Zaid (kiri) menunjukkan Buku Malaysia Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, di Sasana Kijang, Kula Lumpur.
Nabil Basaruddin


PEMINJAM yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan khususnya yang tinggal di kawasan bandar mula menunjukkan tanda-tanda kesukaran untuk membayar hutang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, meskipun risiko hutang isi rumah ke atas kestabilan kewangan domestik adalah terkawal, namun telah wujud tanda kesukaran dalam kalangan peminjam untuk membayar balik hutang.

Beliau berkata, pemerhatian itu turut disokong oleh peningkatan bilangan peminjam yang menyertai Program Pengurusan Hutang yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

“Saya difahamkan kira-kira 80 peratus daripada peserta program ini didapati terlalu optimistik mengenai kemampuan mereka untuk membayar balik hutang.

“Malah, mereka turut menanggung kos sara hidup semasa ketika mengambil keputusan untuk meminjam.

“Ada yang tidak fikir akan membayar hutang apabila meminjam,” katanya pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Syed Zaid Albar.

Dr Mahathir berkata, hutang isi rumah di Malaysia pada masa ini adalah tinggi pada kadar 82.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, ia adalah lebih tinggi daripada negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi, seperti Itali (40.3 peratus), Jepun (58.1 peratus) dan Amerika Syarikat (76.3 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 3:18 PM