KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Azmi Said. FOTO Amirudin Sahib
KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Azmi Said. FOTO Amirudin Sahib
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Penganjuran Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE 2019) dijangka mampu menarik seramai 10,000 pengunjung perdagangan dan awam sepanjang tiga hari acara terbabit yang bermula hari ini hingga 26 Januari 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Azmi Said berkata, pihaknya optimis angka itu boleh dicapai berdasarkan melalui jumlah prapendaftaran yang dicatatkan laman webnya iaitu www.mhe.1reg.my.

“Untuk pengunjung perdagangan, MHE 2019 memberi ruang kepada mereka meluaskan jaringan bersama pihak industri dan mengintai peluang untuk meneroka pasaran eksport ke Jepun.

“Pengunjung awam pula boleh datang ke ekspo ini untuk melihat produk halal tempatan sedia ada dan baru serta rantaian produk halal daripada syarikat tempatan,” katanya di sini, semalam.

MHE 2019 adalah acara pameran produk halal Malaysia dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan disokong SME Corp, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

Ia diadakan bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan halal sebagai inisiatif kepada pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

Penganjuran acara itu juga adalah susulan daripada memorandum kerjasama (MoC) dalam bidang halal antara Malaysia dan Jepun yang dimeterai pada 26 November 2018 bertujuan memastikan industri halal Malaysia dapat meneroka pasaran Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, ekspo ini menawarkan 309 ruang pameran yang memaparkan produk dan perkhidmatan pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, bahan halal, kosmetik, penjagaan diri, farmsaseutikal, logistik dan bioteknologi.

“Kebanyakan syarikat tempatan yang menyertai acara pameran di ekspo ini adalah daripada sektor makanan dan minuman serta bahan halal,” katanya.

Apa paling menarik, MHE 2019 akan disertai selebriti popular tempatan seperti Amy Search, Fara Fauzana, Faizal Ismail serta Fauziah Ghous yang turut mempamerkan produk halal masing-masing.

Azmi berkata, ekspo ini turut menganjurkan sesi perbincangan dan forum mengenai akses pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perkongsian pengalaman ke Jepun, potensi pasaran Jepun dan panduan bagi meneroka pasaran Jepun

Menurutnya, terdapat juga penganjuran sesi padanan perniagaan yang membabitkan 17 peniaga dari Jepun dan tujuh pembeli tempatan yang akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dalam meneroka pasaran di negara matahari terbit itu.

MHE 2019 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula pada jam 10 pagi hingga 6 petang dengan kemasukan adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:53 AM