CHOON (tiga dari kanan) melihat Laporan Tahunan Poh Kong. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
CHOON (tiga dari kanan) melihat Laporan Tahunan Poh Kong. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: Peruncit dan pengilang emas tempatan, Poh Kong Holdings Bhd (Poh Kong) mengunjurkan harga emas berada pada paras lebih tinggi antara AS$1,300 hingga AS$1,400 satu auns tahun ini.

Ketua Hal Ehwal Korporat, Pentadbiran dan Sumber Manusianya, Margaret Hon berkata, harga komoditi itu dijangka berada paras terbabit dipengaruhi pelbagai faktor termasuk ketidakpastian dalam ekonomi global dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Banyak faktor yang akan mempengaruhi harga emas termasuk suasana geopolitik serantau dan sentimen pengguna. Bagaimanapun, kami jangka logam berharga ini terus mendapat permintaan kerana ketidakstabilan ekonomi dunia serta prestasi turun naik dolar Amerika Syarikat (AS) yang akan memberi kelebihan kepada emas,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Choon Yee Seiong.

Goldman Sachs Group Inc dalam notanya juga menjangkakan harga emas akan meningkat pada tahun ini.

Penganalisisnya yang diketuai Jeffrey Currie menaikkan unjuran bagi emas kepada AS$1,425 satu auns, paras yang tidak pernah dilihat dalam tempoh lebih lima tahun.

Sementara itu, Yee Seiong berkata, syarikat menjangkakan prestasi positif bagi permintaan produk berkaitan emas dan dapat memberikan pelabur pilihan pelaburan.

Pada masa sama, Poh Kong turut mengunjurkan emas masih kekal sebagai aset cair dan cukup selamat dalam berdepan ketidak pastian situasi ekonomi pada masa ini.

“Berdasarkan keyakinan itu, Poh Kong memperuntukkan perbelanjaan modal dianggarkan berjumlah RM9 juta hingga RM15 juta tahun ini.

“Peruntukan itu termasuk bagi pembukaan tiga cawangan Poh Kong baharu di IOI Mall, Puchong yang sudah dibuka pada November lalu. AEON Nilai dijangka beroperasi minggu depan dan di South Key Mega Mall di Johor dijangka suku kedua tahun ini.

“Perbelanjaan modal bagi setiap satu cawangan berkenaan dianggarkan RM3 juta hingga RM5 juta,” katanya.

Poh Kong mencatatkan hasil jualan sebanyak RM1.003 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 31 Julai 2018 berbanding RM876.99 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukainya bagi tahun kewangan 2018 susut 28.28 peratus pada RM26.88 juta berbanding RM37.48 juta pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 10:30 AM