ZAHID merasmikan NICE 2017, semalam.
ZAHID merasmikan NICE 2017, semalam.
PENGUNJUNG mencuba  aktiviti sains berkaitan fizik di makmal Wonder Hub di PSN SciFest 17.
PENGUNJUNG mencuba aktiviti sains berkaitan fizik di makmal Wonder Hub di PSN SciFest 17.
Siti Fatimah Hassan dan Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Semua syarikat swasta dan organisasi lain disaran bekerjasama membantu kerajaan membiayai lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mewujudkan produk baru bagi meletakkan Malaysia sebagai negara maju.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting kerana usaha itu tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata khususnya dalam menyediakan peruntukan bagi menjayakan matlamat berkenaan.

Katanya, jumlah perbelanjaan negara terhadap R&D ketika ini masih kecil berbanding negara maju lain apabila merekodkan perbelanjaan pada 1.3 peratus pada 2015.

“Walaupun perbelanjaan R&D terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 1.26 peratus pada 2014 kepada 1.3 peratus pada 2015, saya berpendapat ia masih rendah berbanding sesetengah negara maju lain.

“Di samping perbelanjaan R&D yang dibiayai kerajaan, pihak swasta perlu meningkatkan perbelanjaan menyokong aktiviti berkenaan.

“Peruntukan yang ada belum mencukupi jika hanya mengharapkan peruntukan kerajaan. Saya menyeru pihak swasta dan organisasi lain sama-sama memberi komitmen dalam menyalurkan peruntukan bagi R&D serta mewujudkan produk baru,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Ekspo terbesar diadakan kali pertama itu berlangsung selama lima hari sehingga 16 Oktober ini di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) yang menjadi elemen penting dalam memajukan bangsa di negara ini.

Katanya, perbezaan antara negara yang ke hadapan dan ketinggalan dalam aspek inovasi bergantung kepada ekosistem yang lestari serta faktor seperti kerajaan institusi, industri, R&D, dana, infrastruktur dan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:26 AM