KUALA Lumpur berada pada kedudukan 129 selepas Jerusalem yang merekodkan penurunan harga rumah 0.5 peratus.
KUALA Lumpur berada pada kedudukan 129 selepas Jerusalem yang merekodkan penurunan harga rumah 0.5 peratus.
Nurhayati Abllah

KUALA LUMPUR: Harga kediaman di Kuala Lumpur merekodkan penurunan kali pertama pada tahun ini iaitu 0.6 peratus dalam tempoh suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018, demikian menurut penyelidikan firma hartanah global, Knight Frank.

Berdasarkan laporan Indeks Bandar Raya Kediaman Knight Frank Global Suku Ketiga 2018 yang dikeluarkan semalam, Kuala Lumpur termasuk dalam senarai beberapa bandar raya yang mencatatkan penurunan harga rumah selain London (-0.3 peratus), Melbourne (-1.5 peratus) dan Shanghai (-0.2 peratus).

“Campuran pembantutan ekonomi (tidak berubah/statik), kadar pembangunan yang tinggi dan tahap kemampuan yang terhad menyumbang kepada pengurangan harga perumahan di pasaran bandar raya,” demikian menurut laporan berkenaan.

Daripada 150 bandar raya utama yang disenaraikan dalam laporan itu, Kuala Lumpur berada pada kedudukan 129 selepas Jerusalem yang merekodkan penurunan harga rumah 0.5 peratus bagi tempoh sama.

Ibu negara Malaysia itu juga berkongsi peratusan sama dengan Venice (-0.6 peratus) yang berada pada kedudukan 130.

Secara keseluruhannya, purata harga rumah global meningkat sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2018 dengan 123 bandar utama merekodkan peningkatan dalam harga rumah dalam tempoh lebih 12 bulan.

Harga kediaman di rantau Asia Pasifik juga kebanyakannya menunjukkan peningkatan ketara pada tempoh sama, iaitu pada 6.2 peratus bagi tempoh lebih 12 bulan lalu.

Sementara itu, menurut Knight Frank, enam bandar raya di negara Asia iaitu Xi’an, Ahmedabad, Hyderabad, Bengaluru, Hong Kong dan Surat tersenarai dalam 10 bandar raya utama yang merekodkan peningkatan harga rumah bagi tempoh suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 8:00 AM