NAJMI
NAJMI
Nabil Basaruddin dan Amir Hisyam Rasid

Kuala Lumpur: PMB Investment Bhd (PMB Investment), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Bhd melihat pengenalan cukai keuntungan modal hanya boleh dilaksanakan sekiranya Malaysia mempunyai kapasiti dan pasaran yang matang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmi Mohamed berkata, ketika ini negara masih belum mencapai ke tahap berkenaan, sekali gus menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan sekiranya ia dikuatkuasakan.

Beliau berkata, sebagai syarikat pengurusan dana Islamik (IFMC), pihaknya turut menyatakan kebimbangan bahawa langkah pengenalan cukai itu mampu menjejaskan pengurus dana.

“Ia adalah harapan kami pada Bajet 2019 sebagai pengurus dana di negara ini supaya kerajaan tidak mengambil keputusan untuk perkenal serta melaksana cukai keuntungan modal ini.

“Begitu juga dengan Cukai Digital, kerajaan perlu meneliti kerana sektor ini masih lagi dianggap baru dan memerlukan pasaran yang lebih matang sebelum cukai ini diperkenalkan.

“Apa yang penting, kami yakin kerajaan dapat membantu mewujudkan kembali persekitaran pasaran yang lebih mesra kepada komuniti pelaburan di dalam negara.

“Ia juga adalah sejajar dengan hala tuju kerajaan ke arah pembangunan ekonomi Malaysia, selain menjadi pemangkin positif kepada pasaran modal tempatan,” katanya.

Malah, beliau turut mencadangkan beberapa perkara kepada kerajaan dalam menambah baik kewangan kerajaan antaranya seperti melaksanakan dasar tender terbuka.

Tambahnya, kerajaan juga perlu melaksanakan piawaian dan standard yang lebih ketat bagi sistem perolehannya yang membantu mengurangkan pembaziran dan ketirisan daripada berlaku.

“Kami juga berharap Bajet 2019 yang akan dibentang di Parlimen pada 2 November ini akan mengumumkan lebih banyak subsidi bersasar khusus bagi membantu rakyat.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini diyakini mampu memberi manfaat kepada semua peringkat masyarakat dan tidak tertumpu kepada kumpulan tertentu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 10:02 AM