GAMBAR fail CAEXPO yang diadakan sebelum ini.
GAMBAR fail CAEXPO yang diadakan sebelum ini.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), yakin untuk mencapai RM450 juta jualan menerusi penganjuran Ekspo China ASEAN (CAEXPO 2018) ke-15 pada September ini berbanding RM405.5 juta yang direkodkan pada ekspo tahun lalu.

Pengarah Kanan Promosi Eksport dan Capaian Pasarannya Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya optimis jumlah itu dapat dicapai berikutan permintaan kukuh terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia dari negara China.

Katanya, terdapat 174 syarikat yang mengambil bahagian membabitkan 180 tapak pameran sempena CAEXPO 2018.

“Kami menerima permohonan yang sangat menggalakkan daripada syarikat tempatan yang mana sebanyak 330 syarikat sudah memohon dan hanya 174 syarikat dipilih berikutan ruang pameran yang terhad.

“Malah, 103 syarikat terbabit adalah penyertaan pertama kali dalam CAEXPO 2018 yang membabitkan industri pelancongan kesihatan, makanan dan minuman (F&B) serta gaya hidup dan perkhidmatan.

“Kami perlu lebih agresif dalam mempromosikan eksport Malaysia ke China kerana negara itu adalah rakan dagang yang terbesar sejak 2009,” katanya pada sidang media sempena taklimat CAEXPO 2018 di sini, semalam.

CAEXPO 2018 akan berlangsung bermula 12 hingga 15 September ini di Pusat Pameran Dan Konvensyen Antarabangsa Nanning, Wilayah Guangxi, China.

Selain sektor swasta, CAEXPO 2018 menyaksikan penyertaan daripada agensi kerajaan dan persatuan perniagaan.

Sementara itu, Mohd Mustafa berkata, pihaknya yakin Malaysia akan terus merekodkan pertumbuhan eksport yang positif bagi separuh kedua 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 10:33 AM