PRAVEEN (tiga dari kiri) pada pelancaran sistem telefon maya Omni, semalam.
PRAVEEN (tiga dari kiri) pada pelancaran sistem telefon maya Omni, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan produk terbaru dikenali Omni iaitu sistem telefon maya yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau kumpulan sosial di seluruh negara.

Ia adalah alternatif berpatutan bagi sistem telefon pejabat yang mahal dan rumit serta penyedia layanan telefon atau PBX 2.0 yang membolehkan telefon pintar menjadi pusat panggilan dan mudah dikawal melalui aplikasi di telefon pintar atau paparan web.

Ketua Pegawai Digitalnya, Praveen Rajan berkata, pihaknya melihat potensi pasaran besar melalui kemudahan rangkaian dan hubungan Digi bagi menawarkan harga yang berpatutan dan penyelesaian digital terkini kepada PKS untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan masing-masing.

“Untuk 907,065 PKS, Omni memberi peluang kepada pengusaha PKS mendapatkan sistem telekomunikasi pada kos lebih berpatutan dan mengurangkan risiko terlepas panggilan atau peluang perniagaan,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini Digi membantu PKS melalui perkhidmatan iFleet dan vcash di mana pengenalan Omni akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan digital dipercayai oleh PKS di negara ini.

Pelanggan boleh menggunakan Omni pada harga serendah RM60 sebulan di mana tiada kontrak dikenakan. Ia turut dilengkapi ciri panggilan tetap sekali gus mengelakkan keperluan untuk berkongsi nombor telefon mudah alih bagi tujuan perniagaan.

Menurutnya, pelanggan boleh menggunakan portal Omni bagi menguruskan sistem telefon perniagaan seperti penetapan jam perniagaan, struktur laluan semula panggilan dan sub akaun, kegunaan pengesanan, aktiviti dan pengurusan langganan, serta menetapkan mesej bantuan maya, sambungan serta nombor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 1:00 PM