PRAVEEN
PRAVEEN

DIGI dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan Program Digitalisasi Berterusan Perniagaan (BCD) yang disasar membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menangani impak Covid-19.

Dengan siri aktiviti dirancang sepanjang tahun ini, Program BCD akan menumpukan kepada mempersiapkan PKS dengan pengetahuan tepat bagi merealisasikan manfaat pendigitalan selain mengguna pakai peralatan digital dan rumusan bagi melancarkan urusan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong banyak PKS mengguna pakai kaedah digital untuk kekal beroperasi.

Katanya, melalui BCD, Digi mempelawa lebih ramai PKS memanfaatkan geran yang ditawarkan bagi menguruskan perniagaan secara dalam talian.

"Apa yang kami harapkan menerusi Program BCD ialah membantu PKS menyesuaikan diri dalam perubahan landskap norma baharu.

"Dalam tempoh ini, Digi kekal fokus dalam melindungi pelanggan dan kakitangan, selain mengekalkan usaha berterusan digitalisasi untuk kesinambungan perniagaan," katanya kepada Bisnes Metro.

Praveen berkata, BCD ini merangkumi siri webinar percuma dan bengkel secara dalam talian yang menumpukan kepada bidang kritikal dalam mentransformasi perniagaan digital.

Menurutnya, di bawah Geran Digitalisasi PKS juga sebanyak 50 peratus geran padanan hingga RM5,000 diberi kepada setiap syarikat bagi langganan terhadap mana-mana tiga daripada lima bidang digitalisasi Digi iaitu titik elektronik sistem jualan (e-POS), Perancangan Sumber Perusahaan (ERP), Sistem Bayaran Gaji HR elektronik/CRM, e-perolehan, dan platform pemasaran dan jualan digital.

PKS yang melanggan rumusan digital daripada Digi adalah layak untuk memohon geran altHR (aplikasi sumber manusia (HR) semua dalam satu), Omni Hotline (sistem telefon maya yang membolehkan perniagaan mengendalikan pusat panggilannya sendiri dan sistem telefon perniagaan dari telefon pintar) dan Digital SMS (dSMS) iaitu rumusan penyiaran dan komunikasi SMS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:10 AM