HM Digital

Kuala Lumpur: New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) bekerjasama dengan platform pemasaran tempatan terbaik, iPrice Group Sdn Bhd bagi menawarkan pelbagai tawaran eksklusif dan kupon kepada pelanggan dalam talian menerusi http://vouchers.nst.com.my/.

Laman istimewa yang dirangka menerusi platform e-dagang yang bakal dilancarkan New Straits Times (NST) bulan ini akan dikemas kini setiap hari bagi membantu pelanggan membeli-belah dengan lebih mudah.

Pengurus Besar Perniagaan Digital dan Pembangunan NSTP, Azizi Othman berkata, inisiatif terbaru itu dilancarkan bagi memenuhi usaha syarikat yang komited menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan digital dengan nilai tambah khusus buat pelanggan.

Katanya, iPrice bukan saja memiliki reputasi yang kukuh di Malaysia dan rantau ini, malah berkebolehan menyediakan platform yang membandingkan harga lebih 250 juta produk bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan terbaik sebelum melakukan pembelian.

“Laman Baucar menyenaraikan pelbagai tawaran baucar dan kupon bernilai tinggi dalam talian daripada 60 peniaga e-dagang di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Selain itu, kandungan digital NST diperkayakan supaya lebih mantap dan berkualiti.

“Kami percaya jalinan kerjasama ini mengukuhkan ekosistem e-dagang sekali gus membantu meningkatkan mutu nilai seumur hidup pelanggan (CLV) menerusi pembabitan NST dalam industri ini,” katanya.

AZIZI
AZIZI

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran iPrice Group, Matteo Sutto berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan akhbar bahasa Inggeris tertua di Malaysia dalam menyediakan platform beli-belah global dengan cara termudah dan terpantas.

Katanya, pertumbuhan pesat ekonomi Internet sejak bertahun lalu meningkatkan angka peniaga e-dagang, malah pihaknya berpeluang menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam talian menerusi platform yang menggabungkan semua pilihan yang tersedia.

“Laporan Google dan Temasek menunjukkan nilai e-dagang di Malaysia dijangka melebihi RM33 bilion (AS$8 bilion) menjelang tahun 2025 dan industri berkembang lebih cepat daripada yang diramalkan.

“NST berkembang sejajar dengan masa sejak abad lalu dalam menyalurkan laporan berita yang paling relevan, semasa dan komprehensif kepada rakyat Malaysia.

“Kami percaya kerjasama berpasukan ini memberi nilai lebih besar kepada berjuta-juta pelanggan secara tetap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 12:01 PM