GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

PERTUMBUHAN industri e-dagang dilihat semakin positif seiring dengan perkembangan teknologi.

Kemudahan asas dalam sektor ini seperti akses kepada telefon pintar, akses Internet mampu milik serta keterbukaan pengguna Malaysia menerima konsep digital dalam kehidupan seharian mendorong pertumbuhan e-dagang di negara ini.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), Mohd Azrul Mohd Nor berkata, bagaimanapun pemain industri e-dagang tempatan berdepan beberapa cabaran utama.

“Antara cabaran yang perlu ditempuh ialah kesukaran mendapatkan lebih banyak prospek kerana wujudnya pesaing dari luar negara secara terus melalui platform e-dagang yang ada di Malaysia.

“Melalui platform ini, peniaga dari China contohnya, boleh menjual terus dari negara berkenaan ke Malaysia sekali gus menimbulkan persaingan dengan penjual tempatan yang turut mendapatkan sumber barangan dari sana.

“Cabaran lain termasuk peningkatan enam peratus cukai digital di mana tambahan cukai ini secara tak langsung memberi tekanan kepada kos serta bakal memberi impak kepada rantaian jual beli terhadap peniaga dan pelanggan.

“Selain itu, pemain industri memerlukan lebih banyak latihan dan juga bantuan daripada kerajaan khususnya dalam kemahiran pemasaran dalam talian dan bagaimana untuk memasarkan secara terus ke pasaran luar talian,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, platform e-dagang tempatan juga harus diberi perhatian bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi digital.

Mohd Azrul berkata, platform tempatan harus diberi perhatian khususnya oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Sememangnya, kita masih belum mempunyai jenama e-dagang tempatan yang sebaris dengan Lazada dan Shopee, namun saya berpendapat ini berpunca daripada kos teknologi, penyelidikan berpusat dan kekurangan pemain yang berbakat.

“Selain itu, kos pemasaran juga amat penting untuk terus memacu platform tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:04 AM