DR Dzahar
DR Dzahar
Afiq Hanif

Kuala Lumpur: Negara bakal kerugian kira-kira RM48 bilion setahun sekiranya tidak berhati-hati menangani isu keselamatan siber.

Kajian hasil kerjasama Microsoft dan Frost & Sullivan menunjukkan insiden keselamatan siber membabitkan syarikat adalah 630 peratus lebih tinggi berbanding kerugian ekonomi di kalangan syarikat berskala pertengahan.

Pegawai Teknologi Kebangsaan Microsoft Malaysia, Dr Dzahar Mansor berkata, kajian bersama yang dinamakan Memahami Ancaman Keselamatan Siber di Asia Pasifik: Menjamin Keselamatan Enterpris Moden Dalam Dunia Digital menunjukkan kerugian terbabit mampu melebihi nilai pendapatan negara kasar (GDP).

“Jika dinilai, kerugian RM48 bilion terbabit melebihi empat peratus nilai GDP negara.

“Ia amat membimbangkan apatah lagi syarikat berskala besar juga berisiko berdepan kerugian kira-kira RM89 juta akibat jenayah siber,” katanya pada sidang media mengenai penemuan kajian bersama Microsoft dan Frost & Sullivan di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Frost & Sullivan Asia Pasifik, Sapan Agarwal berkata, serangan siber juga mampu menyebabkan rakyat hilang pekerjaan.

“Dalam kajian ini, serangan siber menyebabkan kehilangan pekerjaan bagi tiga daripada lima organisasi sejak 12 bulan lalu.

“Tiga jenis kerugian akibat serangan siber iaitu secara langsung, tidak secara langsung dan cetusan,” katanya.

Namun, menurut Agarwal, terdapat kerugian tersorok yang sukar ditafsirkan.

Sementara itu, Cyber Security Malaysia (CSM) menerima hampir 3,280 laporan insiden siber dicatatkan bermula awal tahun sehingga hujung Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:16 AM