DR Dzahar (kiri) dan Dr Amirudin menunjukkan laporan keselamatan Microsoft.
DR Dzahar (kiri) dan Dr Amirudin menunjukkan laporan keselamatan Microsoft.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Laporan risikan keselamatan terkini mendapati serangan ke atas akaun perkomputeran ‘cloud’ meningkat tiga kali ganda di peringkat global berikutan lebih banyak organisasi yang mengguna pakai platform terbabit.

Hasil kajian Security Intelligence Report (SIR), Volume 22, di peringkat global mendapati Malaysia menjadi salah satu negara dengan kadar penemuan perisian malware yang kian meningkat.

Menurut laporan berkenaan, purata 12.9 peratus komputer yang menggunakan produk keselamatan Microsoft di Malaysia menemui malware pada suku pertama 2017 berbanding kira-kira sembilan peratus di peringkat global.

Pegawai Teknologi Kebangsaan Microsoft Malaysia Dr Dzahar Mansor berkata, pertumbuhan pesat titik akhir dan kuasa komputer yang sentiasa ada di cloud dilihat sebagai peluang terbaik untuk melaksanakan transformasi digital demi memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat.

“Bagaimanapun, untuk memastikan proses pendigitalan mencapai potensi penuh, pengguna mesti yakin terhadap teknologi yang digunakan mereka,” katanya pada program yang diadakan di Microsoft Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, ruang siber tanpa sempadan dan batasan membuka pintu kepada ancaman siber.

“Hari ini, kita menghadapi salah satu cabaran keselamatan ekonomi dan kebangsaan terbesar sebagai sebuah negara. Kami berhasrat bekerjasama dengan rakan seperti Microsoft untuk mengukuhkan lagi komitmen dalam membina dan mengekalkan ruang siber yang lebih selamat untuk Malaysia,” katanya.

Antara trend malware yang dikenal pasti termasuk serangan ke atas akaun dan perkhidmatan cloud serta peningkatan serangan perisian tebusan.

Oleh itu, organisasi perlu mengguna pakai platform cloud yang selamat, seperti penyelesaian awan Microsoft untuk menjamin keselamatan data syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 1:00 PM