Kuala Lumpur: Eksport Malaysia pada April meningkat 14 peratus kepada RM84.2 bilion, nilai eksport bulanan kedua tertinggi selepas RM84.5 bilion yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Prestasi cemerlang itu disokong oleh eksport lebih tinggi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta petroleum, sekali gus mengatasi unjuran kebanyakan firma penyelidikan ekonomi.

Pertumbuhan kukuh itu juga disokong oleh peningkatan eksport ke Hong Kong, ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Taiwan, Bangladesh dan Korea Selatan, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Jumlah perdagangan Malaysia pada April melonjak 11.7 peratus kepada RM155.42 bilion berbanding setahun lalu, kembali mengukuh berbanding penurunan 3.5 peratus pada Mac.

Sementara itu, import berkembang sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM71.17 bilion.

Ia membolehkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan berjumlah RM13.07 bilion iaitu lebihan dagangan ke-246 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Sementara itu, MITI berkata bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, Malaysia meraih jumlah perdagangan berjumlah RM597.3 bilion, menokok 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 7:05 AM