Muhammad   ketika selesai sidang media Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2018, semalam.
Muhammad ketika selesai sidang media Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2018, semalam.
Mahanum Abdul Aziz dan Lidiana Rosli dan Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini dengan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, prospek pertumbuhan terus disokong oleh limpahan positif berterusan sektor luar, yang akan memberi manfaat kepada aktiviti ekonomi domestik.

Beliau berkata, permintaan domestik terus dipacu perbelanjaan swasta, pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan terus menyokong perbelanjaan pengguna dan firma terus melaksanakan pengembangan kapasiti.

Melangkah ke hadapan, katanya, penggunaan swasta dijangka kekal kukuh disokong pertumbuhan mantap pendapatan, pekerjaan dan sokongan berterusan langkah kerajaan.

“Pertumbuhan penggunaan swasta kukuh pada paras 6.9 peratus disokong peningkatan dalam upah dan pekerjaan. Melangkah ke hadapan, penggunaan swasta akan terus utuh disokong keadaan pasaran kerja yang menggalakkan dan sokongan berterusan daripada langkah kerajaan.

“Bagaimanapun, segmen golongan berpendapatan rendah terus berdepan cabaran,” katanya pada sidang media mengenai prestasi ekonomi suku pertama 2018, di sini, semalam.

Pada suku pertama 2018, inflasi keseluruhan berkurangan kepada 1.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku keempat 2017, sekali gus mencerminkan kesan daripada harga bahan api domestik yang lebih kecil berikutan kenaikan harga minyak dunia yang lebih rendah berbanding suku tahun sebelumnya serta kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh pada suku pertama tahun ini.

Inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata dua peratus hingga tiga peratus tahun ini, berikutan faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh berbanding tahun lalu.

Mengenai ringgit, Muhammad berkata, ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama 2018 berikutan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran kewangan negara di tengah-tengah pemulihan keyakinan pelabur terhadap tinjauan ekonomi negara.

Beliau berkata, mata wang tempatan dilihat stabil dan kembali ke paras sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) meskipun berdepan kadar turun naik tinggi pada awal dagangan Isnin lalu.

Keadaan itu, jelasnya, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 6:16 AM