Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku pertama 2019 lebih tinggi berbanding unjuran pasaran sebanyak 4.3 peratus, walaupun berdepan persekitaran yang mencabar.

Bagaimanapun, pertumbuhan pada suku pertama itu lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2018 dan 5.3 peratus pada suku pertama 2018.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong terutamanya oleh pertumbuhan penggunaan swasta yang kukuh pada suku terbabit.

Katanya, dari segi penawaran, sektor utama terus berkembang, kecuali sektor perlombongan disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak dan gas asli susulan penutupan loji pengeluaran yang tidak dirancang.

“Pada masa depan, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil dan permintaan sektor swasta turut dijangka kekal sebagai peneraju pertumbuhan dalam keadaan perbelanjaan sektor awam yang lebih rendah.

“Manakala, pertumbuhan sektor luaran dijangka meningkat sedikit seiring dengan permintaan global yang sederhana.

“Secara keseluruhan, unjuran asas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini,” katanya di pengumumam Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2019 di sini, semalam.

Menurutnya, purata inflasi keseluruhan dijangka berada antara 0.7 hingga 1.7 peratus tahun ini dan inflasi teras dijangka stabil, disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, akaun semasa dijangka kekal dalam lebihan berikutan permintaan daripada negara dagang utama terus berkembang meskipun sederhana.

Beliau berkata, aliran pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM21.7 bilion pada suku pertama 2019 dan kekal merentasi sektor yang meluas.

Nor Shamsiah berkata, pada suku pertama 2019 juga, ringgit menambah nilai sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

“Hal ini didorong terutamanya oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin yang berjumlah RM13.5 bilion.

“Bagaimanapun, sejak April, ringgit menyusut nilai sebanyak 2.2 peratus berbanding dengan dolar AS (pada 15 Mei), sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

“Tekanan penyusutan nilai baru-baru ini mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati dalam pasaran kewangan global berikutan prospek pertumbuhan global yang bertambah lemah serta ketidakpastian mengenai perkembangan geopolitik dan perdagangan global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:51 AM